Batik yang dipakai IShowSpeed jadi ‘perang mulut’ antara netizen Malaysia & Indonesia
Baju batik yang dipakai pencipta kandungan YouTube, IShowSpeed menjadi ‘perang mulut’ antara pengguna media sosial dari Malaysia dan Indonesia apabila mereka mempertahankan batik di negara masing-masing.
Menerusi satu video tular, selebriti terkenal dari Amerika Syarikat itu bertanya kepada pemandu pelancong yang menaiki kenderaan bersama-samanya berhubung negara asal batik.
Lelaki tersebut menjelaskan, terdapat dua jenis batik yang mana baju dipakai oleh IShowSpeed merupakan batik dari Malaysia dengan motif corak flora.
“Sebenarnya ada dua jenis, yang saya beri pada awak ini jenis bunga, flora. Indonesia (batik) pula jenis haiwan, fauna. Asal batik (bunga, flora) dari Malaysia,” katanya pada video itu.
Dalam masa sama, IShowSpeed turut membuat carian di dalam internet mengenai batik serta melihat gambar perbezaan antara batik Malaysia dan Indonesia.
Bagaimanapun, perkara itu mencetuskan punca pergaduhan apabila pengguna media sosial Indonesia mula mengutuk dan mengkritik Malaysia berhubung batik, sekali gus dibalas kembali oleh netizen dari Malaysia.
Selain itu, ada juga pengguna dari kedua-dua negara cuba ‘menyejukkan’ keadaan supaya tidak bergaduh dalam hal tersebut.
Sementara itu, seorang pengguna X, Azizul Farhan yang sering berkongsi hantaran mengenai sejarah dan budaya turut menjelaskan mengenai perbezaan batik antara kedua-dua negara.
“Betul lah apa ‘tour guide’ tu cakap. Batik Malaysia memang guna motif bunga, warna terang. Batik Indonesia guna warna tanah, lebih kepada tradisional Jawa macam batik motif parang. Belajar perbezaan, bukannya cetuskan perang,” katanya.
Azizul Farhan yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Asia Tenggara berkata, beliau tidak menolak asal usul batik adalah dari Indonesia dan ia daripada perkataan Jawa iaitu Ambathik.
“Seni batik dah bermula sejak era Mesir Purba hingga ke Tamadun Cina. Tapi tanah Jawa yang mengembangkannya hinggalah tiba ke Tanah Melayu,” katanya sambil memberikan pelbagai bukti dan fakta pada hantarannya.
Berhubung batik yang dipakai oleh IShowSpeed, pemuda itu menjelaskan, ia mempunyai motif pucuk rebung serta bunga-bungaan yang besar pada sebelah lengan baju tersebut.
“Terpulanglah pada korang untuk menilai. Raikan perbezaan, bukan pergaduhan,” katanya
Semalam Kosmo melaporkan, IShowSpeed atau nama sebenarnya Darren Jason Watkins Jr. dilaporkan berkunjung ke Malaysia sebagai destinasi pilihan siri jelajahnya melawati negara di Asia Tenggara.
Dia sebelum ini telah berkunjung ke Vietnam, Kemboja dan Thailand, seterusnya ke negara ini serta mengakhiri jelajahnya ke Singapura.