Basikal dibuang dari tingkat 12 PPR, wanita terima 5 jahitan di kepala

Basikal dibuang dari tingkat 12 PPR, wanita terima 5 jahitan di kepala

 

Basikal dibuang dari tingkat 12 PPR, wanita terima 5 jahitan di kepala

Suri rumah menerima lima jahitan di kepala selepas ditimpa basikal yang dibuang dari tingkat 12, rumah pangsa Program Perumahan Rakyat (PPR) di Padang Hiliran, di sini, semalam.

Kejadian berlaku ketika Azuraini Yazid, 43, yang tinggal di tingkat 9, ingin membuang sampah, kira-kira 4 petang.

Suami mangsa, Jusri Ibrahim, 48, berkata, isterinya yang juga pembantu Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas di Pasir Panjang dalam perjalanan untuk membuang sampah.

“Bagaimanapun, isteri tiba-tiba jatuh dan tidak sedarkan diri manakala kepalanya berlumuran darah selepas ditimpa basikal yang dibuang dari tingkat 12.

“Saya bergegas pulang selepas menerima panggilan daripada anak memaklumkan isteri cedera” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jusri yang juga pemandu di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berkata, isterinya diberi rawatan kecemasan oleh pasukan perubatan di lokasi kemudian.

“Isteri dihantar ke unit kecemasan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan menerima lima jahitan di kepala, keadaannya dilaporkan stabil.

“Kami sudah berjumpa dengan pemilik basikal dan dia mendakwa basikal anaknya yang berada di luar rumah dibuang individu lain,” katanya yang sudah membuat laporan kepada polis.

Sementara itu, Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kertas siasatan dibuka untuk tindakan lanjut.

“Kita juga sudah merakam percakapan dengan seorang individu yang juga penghuni kediaman itu dan mengaku basikal itu miliknya, tetapi tidak membuang basikal itu.

“Hasil rakaman percakapan mendapati basikal yang dibuang individu tidak dikenali ditinggalkan di luar kediaman oleh pemiliknya,” katanya.

Azli berkata, polis akan mendapatkan laporan termasuk mengenal pasti individu yang tidak bertanggungjawab membuang basikal berkenaan.

“Setakat ini siasatan masih dijalankan dan keadaan mangsa dilaporkan stabil serta dibenarkan pulang ke rumah awal pagi ini,” katanya.