Baru sebulan tunang, pasangan kantoi skandal dengan janda berumur
![Baru sebulan tunang, pasangan kantoi skandal dengan janda berumur Baru sebulan tunang, pasangan kantoi skandal dengan janda berumur](https://beritaperak.com/wp-content/uploads/2025/02/1-51-e1739282838974.jpg)
Baru sebulan tunang, pasangan kantoi skandal dengan janda berumur
Baru saja mengikat tali pertunangan, namun hasrat seorang wanita untuk bergelar isteri nampaknya terpaksa dilupakan.
Semuanya gara-gara tunang kepada wanita itu dikesan menjalinkan hubungan sulit dengan seorang ibu tunggal.
Menerusi satu perkongsian di media sosial, wanita malang itu memaklumkan dia dan pasangannya bertunang pada Disember tahun lalu.
“Tapi awal Januari baru ni, tunang aku kantoi curang dengan seorang ibu tunggal. Umur dia aku tak pasti, tapi pastinya lebih tua daripada kami yang baru awal 30-an.
“Ibu tunggal tu sendiri yang cari aku, tanya betul ke aku tunang kepada boyfriend dia. Rupanya, dia pun kena tipu juga. Tunang aku langsung tak mengaku dia dah bertunang,” luahnya menerusi hantaran berkenaan.
Pengakuan daripada ibu tunggal itu ternyata mengejutkannya sehingga dia nekad untuk memutuskan tali pertunangan.
Malah, perkara tersebut turut diketahui kedua-dua keluarga.
“Masa tu, aku menggigil, terkejut sangat. Hanya Allah je yang tahu perasaan aku. Aku memang dah nekad nak putus terus tanpa fikir panjang.
“Tapi masalahnya, famili tunang baik sangat dengan aku. Mereka nasihat suruh sabar, bagi peluang. Mak dia pula berkali-kali pujuk aku untuk cuba perbaiki hubungan ni,” ujarnya.
Dia cuba untuk melakukannya tetapi jauh di sudut hati, dia mengakui hubungannya dengan encik tunang semakin hambar sejak hubungan sulit bersama ibu tunggal itu terbongkar.
“Aku pun nampak dia macam biasa je, tiada rasa bersalah, tak ada janji nak berubah… nothing.
“Yang paling buat aku tawar hati, dia beli kereta senyap-senyap tanpa bagitahu aku. Duit deposit kereta tu kalau guna buat kahwin, memang cukup sangat.
“Dia cakap tunggu duit KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dia keluar tahun ni, baru dia akan bagi duit hantaran. Tapi aku macam dah malas nak berharap,” jelasnya.
Walaupun hubungan tunangnya dan ibu tunggal berkenaan sudah putus, namun perkara itu tidak membantu untuk mengembalikan semula rancangan mereka berdua untuk bergelar suami isteri.
“Hubungan mereka dah putus, ibu tunggal tu pun dah undur diri. Tapi aku masih rasa dia tak move on, macam dia lagi sayangkan skandal dia tu.
“Aku pun tak tahu dia betul-betul nak halalkan aku ke atau sekadar bertahan sebab keluarga dia.
“Kalau dah tak sayang, kenapa masih nak pertahankan? Dan kalau dia cuma bertahan sebab famili, patut ke aku teruskan?” katanya yang keliru dengan perasaan sendiri sama ada mahu meneruskan rancangan perkahwinan atau memutuskan pertunangan.