Baru nak duduk sofa patah, tuan kedai desak pelanggan ganti baru sampai buat report polis
Tular di media sosial video memaparkan seorang lelaki yang berkongsi bagaimana dia hampir disaman kerana tak sengaja patahkan sofa dalam satu premis.
Menerusi bebeberapa perkongsian di TikTok, @syakirbelon4.0 telah memuat naik video menceritakamn kejadian yang menimpa dirinya ketika berada di sebuah premis menjual pakaian di pusat beli belah i-City Shah Alam.
@syakirbelon4.0
Menurut lelaki yang bernama Syakir itu, dia menemani rakannya untuk membeli pakaian dan kejadian itu bermula semasa rakannya mahu membayar baju yang dibelinya.
“Kawan saya dah siap pilih baju dan bila saya dah siap tolong dia pilih baju, memang saya penat. Bila pergi bayar, tiba-tiba nampak ada sofa. Kawan saya suruhlah saya duduk berehat kat sofa,” katanya.
Sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya, tiba-tiba sofa tersebut jatuh dan apa yang lebih menyakitkan hati adalah apabila pemilik kedai tersebut langsung tidak mengambil tahu keadaannya.
“Saya baru letak sikit, tiba-tiba sofa tu jatuh. Aunty pekerja kedai tu langsung tak tanya saya okay ke tak. Kawan saya yang ramai-ramai yang gelabah dan terus angkat saya.
“Aunty tu kat depan saya je, lepastu dia datang dia cakap saya dah patahkan kerusi dia dan saya kena ganti. Saya blur masa tu, kan baru terjatuh lepastu terus kena minta bayar ganti rugi.
“Dia suruh saya beli sofa baru terus. Masa tu saya nak iyakan je la, tapi kawan saya bangkang. Kawan saya cakap kenapa kena bayar,” ujarnya.
Kawan Syakir kemudian meminta agar pemilik premis tersebut memanggil pihak pengurusan pusat membeli belah itu namun wanita tersebut enggan dan berkata pengurusan sudah ditutup pada waktu itu.
@syakirbelon4.0 Part2
Tidak menemui jalan penyelesaian, pemilik premis itu kemudian memfailkan saman terhadap Syakir dan mendakwa lelaki itu telah merosakkan harta bendanya dan mahu dia membayar ganti rugi.
Syakir kemudian menjelaskan dia tidak boleh dipersalahkan 100 peratus kerana sofa tersebut hanya disokong batang-batang yang kelihatan tidak kukuh.
“Yang lain elok je cuma kaki kerusi tu je yang rosak. Lepastu kawan saya cakaplah, kalau dia duduk sofa tu mesti patah juga. Tapi aunty tu cakap orang main lompat-lompat pun kerusi tu tak patah,” katanya.
Mahu mengalah, Syakir kemudian menawarkan dia mahu menukar bahagian yang rosak sahaja iaitu kaki kepada sofa tersebut namun pemilik itu berkeras mahu sofanya ditukar secara keseluruhan.
Pemilik premis itu kemudian membuat laporan polis berkenaan insiden tersebut dan mahu Syakir membayarnya atas kerosakan yang dia telah lakukan.
Namun, pihak polis menjelaskan mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana tiada kes jenayah yang terlibat dan kerosakan itu tidak disengajakan.
@syakirbelon4.0
Selain itu, pihak polis turut menerangkan sepatutnya Syakir yang perlu membuat laporan polis kerana pemilik premis tersebut menyediakan kemudahan yang tidak selamat untuk digunakan.
Pemilik premis tersebut enggan mengalah dan masih mahu meneruskan laporannya terhadap Syakir sehingga menyebabkan pihak polis meminta wanita itu membuat laporan ke balai polis lain.
Bagaimanapun, pada balai polis yang lain pemilik premis itu dimaklumkan dengan perkara yang sama kerana tiada jenayah yang dilakukan.
Disebabkan tidak dapat memfailkan laporan, pemilik premis itu menjadi berang dan menarik semula laporannya sebelum keluar daripada balai polis berkenaan.
Selepas kejadian itu, Syakir telah memfailkan satu laporan lain berkenaan insiden tersebut bagi mengelakkan sebarang kejadian berlaku keatas dirinya.