Wanita bangga ada bapa sanggup berniaga jual beg untuk sekolahkan anak hingga masuk universiti

Wanita bangga ada bapa sanggup berniaga jual beg untuk sekolahkan anak hingga masuk universiti

 

Wanita bangga ada bapa sanggup berniaga jual beg untuk sekolahkan anak hingga masuk universiti

Setiap anak yang berjaya di dunia ini adalah kerana usaha dan doa dari ibu bapa yang tidak pernah putus buat mereka.

Malah mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan si anak dapat menimba ilmu sehingga ke menara gading dan mempunyai masa depan yang lebih cerah.

Meskipun terpaksa berkorban namun ibu bapa tahu itu adalah tanggungjawab mereka yang sudah diamanahkan oleh tuhan.

Baru-baru ini, seorang wanita di Indonesia dikenali sebagai Sandra meluahkan rasa bangganya terhadap bapa yang sanggup mengusahakan perniagaan di jalanan demi memastikan dia dapat belajar ke peringkat universiti.

Menerusi carousel yang dimuat naik oleh Sandra di TikTok, awalnya dia menunjukkan gambar dirinya memakai jubah konvokesyen dan mengatakan terdapat cerita tersembunyi di sebalik foto tersebut.

Katanya di sebalik kejayaannya yang berjaya menamatkan pelajaran itu terdapat seorang bapa yang sanggup menjual tas tangan di jalanan untuk menyekolahkan anak-anaknya.

Malah apa yang membuatkan dia lebih sebak apabila si ayah turut menitiskan air mata ketika hari konvokesyennya.

“Kayanya ayah yang paling miskin dari semua orang tua (ibu bapa) yang hadir di sini (majlis konvokesyen),” kata si ayah kepada anaknya.

Menurut Sandra lagi, meskipun bapa hanya belajar sehingga ke peringkat sekolah namun dia boleh menyara anak perempuannya sehingga ke peringkat sarjana.

“Bukan bapak tak nak sekolah, tapi dari kecil dah jadi yatim piatu dan harus berjuang untuk hidupnya.

“Bapak di Sumatera, aku (Sandra) belajar di Kalimantan. Disebabkan jualan adakalanya tidak laku, bapak akhirnya memutuskan untuk menukar kerja lain.

“Seminggu sebelum aku konvokesyen, bapa membuat panggilan video dan memaklumkan nak datang ke majlis konvo (walhal sebelum ini dia mengatakan tidak boleh kerana tiada wang). Rupanya bapak datang sekali untuk cari kerja di Kalimantan,” kata Sandra.

Sandra turut berkongsi beberapa foto bapanya ketika ingin datang ke Kalimantan dan mengakui terpaksa meminjam wang dari orang lain untuk perjalanan tersebut.

Sewaktu di majlis konvokesyen kelihatan si bapa segak memakai sut lengkap berwarna hitam.

Malah dia turut memesan kepada Sandra untuk mereka bersama-sama semangat mencari kerja agar boleh menyara adiknya pula sehingga ke peringkat universiti.

“Terima kasih bapak ku yang hebat dah berjuang untuk hidup mu dan hidup kami anak-anakmu. Bahkan diumur mu yang sudah tua masih semangat mencari kerja demi mengubah kehidupan kita.

“Semoga bapak cepat dapat pekerjaan di tanah Kalimantan ini.”

Di ruang kapsyen, Sandra turut mengatakan satu dunia perlu mengetahui bapanya seorang yang hebat.

Melihat di ruangan komen, ramai yang memuji si bapa kerana sanggup melakukan apa sahaja demi memberikan anak-anaknya ilmu pengetahuan.

Tidak kurang juga ada yang mengatakan mereka bangga dengan Sandra yang sangat menghargai jasa orang tuanya.

Malah ada yang memuji bapa Sandra mempunyai rupa paras yang elok dan boleh dijadikan sebagai model produk.