Bapa 4 anak didenda RM80,000 sebar klip video lucah berkumpulan bersama isteri

Bapa 4 anak didenda RM80,000 sebar klip video lucah berkumpulan bersama isteri

 

Bapa 4 anak didenda RM80,000 sebar klip video lucah berkumpulan bersama isteri

Seorang tukang sapu dijatuhkan hukuman denda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menghantar video sumbang dan lucah berkumpulan bagi tujuan komersial awal tahun lalu.

Tertuduh Kamarulnazri Desa@Yahaya, 45, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar menggunakan akaun aplikasi X untuk memulakan penghantaran komunikasi iaitu video sumbang dan lucah bagi tujuan menyakitkan hati orang lain pada 26 Januari dan 4 Februari lalu.

Tertuduh turut didakwa secara sedar menyebarkan komunikasi lucah menggunakan akaun X iaitu video melalui pautan aplikasi Telegram bagi tujuan komersial kepada orang lain pada 8 Februari dan 17 Februari lalu.

Semua kandungan itu dilihat pihak berkuasa di Ibu Pejabat Polis Daerah (PD) Kubang Pasu, Jitra pada 20 Februari lalu.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) dan 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes juga, tertuduh didapati menjual kandungan video seks berkumpulan terbabit pada harga RM100 berdasarkan resit bayaran yang ditemui pihak berkuasa ketika melakukan siasatan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Fatin Hadni Khairuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh dalam rayuannya meminta hukuman ringan berikutan hanya bekerja sebagai pekerja am pembersihan dengan pendapatan RM1,500 sebulan dan masih menyara isteri dan empat anak termasuk dua yang masih menuntut di universiti selain menjaga nenek yang uzur.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan meminta hukuman berat dijatuhkan berikutan tindakannya memuat naik klip video mempromosi kegiatan seks berkumpulan termasuk video hubungan isterinya bersama lelaki lain sambil disaksikan tertuduh.

Fatin Hadni berhujah bahawa video berkenaan dijual kepada orang ramai dan pemeriksaan SKMM mendapati terdapat banyak koleksi video milik tertuduh di pautan media sosial yang dimuatnaiknya sejak 2016.

Berikutan itu, beliau meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan pelaku lain yang terbabit bagi menghalang aktiviti seks bebas ini terus berleluasa termasuk jika kandungan terbabit diakses kanak-kanak.

Hakim kemudian menetapkan tertuduh dikenakan denda RM80,000 atau penjara dua tahun sekiranya gagal membayar hukuman berkenaan.

Sementara itu sehingga jam 4 petang tadi, tertuduh gagal membayar denda yang dikenakan ke atasnya dan akan dibawa ke Penjara Pokok Sena bagi menjalani hukuman penjara yang ditetapkan.