Sudah bertunang, bakal suami Wanna Ali rupanya bukan calang-calang

Sudah bertunang, bakal suami Wanna Ali rupanya bukan calang-calang

 

Sudah bertunang, bakal suami Wanna Ali rupanya bukan calang-calang

Pelakon Wanna Ali memaklumkan sudah bertunang dengan jejaka pilihannya, Khairil Amri Khalid pada 9 November tahun lalu, namun memilih berkongsi berita gembira, hari ini.

Wanna ketika dihubungi Harian Metro bagaimanapun enggan berkongsi butiran majlis pernikahannya yang dilaporkan bakal berlangsung dalam masa yang terdekat.

“Kami sebenarnya sudah mengadakan majlis pertunangan pada 9 November tahun lalu, namun hanya berkongsi berita, hari ini.

“Alhamdulillah, selepas berdoa di Makkah agar ditemukan dengan jodoh yang tepat, akhirnya saya dipertemukan dengan insan bernama Khairil Amri.

“Mengenai tarikh pernikahan, saya akan maklumkan nanti,” katanya.

Ditanya detik perkenalan dengan Khairil Amri, Wanna berkata, dia mula mengenali anak bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar itu sejak tahun lalu.

“Dia mula menyedari kehadiran saya selepas rakan muat naik foto saya dalam media sosialnya.

“Ketika itu, dia meminta kawan untuk mengajak saya keluar makan. Saya beberapa kali menolak ajakan, namun akhirnya bersetuju.

“Selepas beberapa bulan berkenalan, kami menyedari kami mempunyai persamaan, iaitu sudah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.

“Saya juga pernah memberitahunya, jika perkenalan ini hanya sekadar suka-suka, saya tak mahu membuang masa. Namun, Khairil menunjukkan keikhlasan dan kesungguhan untuk berkahwin,” katanya.

Terdahulu, Wanna berkongsi foto dan video sekitar majlis pertunangannya dalam media sosial.