Lelaki kena penyakit kulit akibat baju bundle

Lelaki kena penyakit kulit akibat baju bundle
Pakaian terpakai atau bundle bukan perkara asing lagi di Malaysia, bahkan ia mempunyai peminat tersendiri di negara ini.
Salah satu sebab utama ia digemari ramai kerana jenama dan harganya yang jauh lebih murah berbanding baju baru.
Malah, seseorang yang ‘menyelam’ di kedai bundle juga berpontensi mendapat pakaian-pakaian berjenama mewah pada harga yang tidak masuk akal.
Dengar macam best kan beli baju bundle ni? Tapi ada keburukannya juga jika kita tidak menitikberatkan soal kebersihan.
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial seorang lelaki di Indonesia mendakwa terkena penyakit ‘molluscum contagiosum’ dipercayai selepas memakai baju bundle.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di akaun X @awesomeposted, pemuda itu menjelaskan bahawa penyakit molluscum itu tersebar melalui sentuhan dan bukannya udara.
Dia turut menjelaskan bahawa di dalam keluarganya tiada yang menghidapi penyakit berkenaan, sebaliknya mendakwa jangkitan kulit itu terkena kerana pakaian terpakai yang baru dibelinya.
Lelaki itu mengakui sendiri kesilapannya yang terus memakai pakaian-pakaian bundle yang baru dibeli tanpa dicuci terlebih dahulu.
“Selepas baju itu sampai, saya terus pakai. Dan korang pun tahu sendiri lah betapa kotornya baju bundle.
“Kita juga tak pernah tahu yang si pemakai baju itu sebelum ini ada sejarah penyakit atau virus apa dan kita terus pakai baju itu dan automatik virus itu melekat pada badan kita,” katanya.
Kejadian terbabit dipercayai berlaku pada bulan lalu kerana lelaki itu ada berkata yang dia berharap agar dirinya segera sembuh sebelum hari raya.
Dalam satu lagi video berasingan yang dikongsikan lelaki itu, dia menjelaskan bahawa penyakit molluscum itu mula menjangkiti di jari telunjuk pada tangan kirinya.
Jelasnya, pada awalnya dia tidak mengetahui bahawa biji-biji itu adalah molluscum contagiosum dan telah bertindak memecahkannya.
Kata pemuda itu, dia hanya mencuci darah yang keluar daripada biji-biji berkenaan setelah dipecahkan menggunakan tisu kering tanpa membasuhnya dengan air.
Susulan itu, dia tidak menolak kemungkinan bahawa virus terbabit yang masih melekat di tangannya menjadi punca ia merebak sehingga ke wajah.
Malah, penyakit molluscum itu bertambah buruk selepas dia memecahkan beberapa benjolan yang ada di mukanya.
Meskipun tertekan dengan penyakit kulit yang dialami itu, lelaki terbabit tetap berfikiran positif dan yakin bahawa ia akan sembuh dalam jangka masa terdekat.
Apa itu Molluscum Contagiosum?
Memetik The Malaysian Medical Gazette, molluscum contagiosum adalah penyakit kulit berjangkit bukan kanser yang disebabkan oleh jangkitan virus kumpulan poxvirus.
Penyakit ini dipindahkan dari seseorang melalui kulit ke kulit dan adalah salah satu penyakit yang biasa dijumpai di klinik kesihatan primer.
Penyakit ini adalah terhad tanpa komplikasi jangka masa panjang walaupun pesakit yang mengalaminya biasanya yang berimuniti rendah, contohnya pesakit HIV atau kencing manis. Ia dapat juga berlaku pada golongan kanak-kanak.
Sekiranya korang merasai terkena jangkitan ini, segera ke klinik atau hospital untuk bertemu doktor dan dapatkan rawatan secepat mungkin.
Tips selepas beli baju bundle
Baju bundle ini memang seronok dibeli kerana harganya murah dan kualiti yang bagus, namun setiap pembeli pakaian terpakai itu mestilah mencucinya terlebih dahulu sebelum memakainya.
Berikut, kami kongikan langkah-langkah untuk mencuci baju bundle mengikut perkongsian H.IClothing:
- Langkah 1: Tuangkan air sehingga penuh dan meratai seluruh permukaan baju
- Langkah 2: Rendam/rehat kan selama 30minit-1jam
- Langkah 3: Keluarkan baju yang telah direndam
- Langkah 4: Gunakan sabun yang betul dan dipercayai (Vanish liquid)
- Langkah 5: Tuangkan sedikit vanish liquid ke atas kotoran
- Langkah 6: Biarkan vanish liquid selama maksimum (10minit) jangan sampai kering
- Langkah 7: Tuang vanish liquid ke dalam air (40ml setiap 3L air) secukup rasa. Dan gaul sehingga sebati
- Langkah 8: Rendam baju ke dalam air yang telah digaul dengan vanish liquid selama (max 1jam) jangan lebih.