“Bagi saya ia adalah ‘kisah silam’..” – Akui terkejut pasangan dibantu belum kahwin, ini reaksi pemberi Proton Persona

“Bagi saya ia adalah ‘kisah silam’..” – Akui terkejut pasangan dibantu belum kahwin, ini reaksi pemberi Proton Persona

 

Pemberi Proton Persona ikhlas bantu pasangan tular dan tidak tahu bahawa mereka bukanlah suami isteri seperti awal-awal diketahui sebelum ini.

Memetik laporan dari Mstar, Firdaus Shariffuddin Arshad memaklumkan yang dia hanya mengetahui bahawa mereka tidak berkahwin sewaktu melihat berita di media sosial dan akui agak terkejut dengan kebenaran tersebut.

Walau bagaimanapun, usahawan terbabit tidak cepat melatah apabila menganggap hal berkenaan adalah kisah silam pasangan itu dan dia ikhlas menghulurkan bantuan.

“Saya tak tahu mereka belum berkahwin. Tapi bagi saya ia adalah ‘sejarah silam’ kerana benda yang tak baik boleh jadi baik sekiranya mahu berubah.

“Saya bukan ustaz atau badan berkuasa untuk menegur atau mengambil tindakan ke atas mereka. Tapi saya menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat prihatin yang mengenang kesusahan mereka menjaga anak yang sakit kronik,” katanya.

Dalam pada itu, usahawan 36 tahun berkenaan sempat berkongsi sedikit kisah pasangan tersebut apabila bapa bayi datang ke kedai untuk mencari kereta terpakai dengan harga murah bagi membolehkan dia membawa anak dengan alat bantuan pernafasan khas berulang alik ke hospital.

Disebabkan simpati dengan kisah mereka, usahawan yang lebih dikenali sebagai Daniel Firdaus itu berbesar hati membantu mereka dengan ikhlas dan memberikan kereta jenis Proton Persona buat mereka sekeluarga.

“Pada asalnya, dia (bapa bayi) nak beli kereta terpakai yang murah untuk bawa anak mereka ulang alik ke hospital. Kalau naik motor agak susah dengan keadaan anak yang pakai tiub dan cuaca hujan yang tidak menentu”

Dia juga menyatakan yang menyokong tindakan pasangan tersebut jika mereka benar-benar mahu berubah menjadi lebih baik.

Ujarnya pemberi Proton Persona itu lagi, dia faham situasi mereka yang perlu menjaga anak-anak memandangkan dia juga mempunyai tiga orang cahaya mata.

“Perkara yang baik, kita sokong. Kisah silam dia dan jika mahu berubah kepada yang lebih baik, saya pun sokong,”

“Saya sendiri ada anak, dan saya juga pernah hidup susah kerana bukan datang dari keluarga yang senang.

“Semua ini kerja Tuhan. Kalau kisah dia tak viral, orang tak tahu perkara yang sebenar dan ujian ini juga yang mungkin membuatkan mereka mahu berubah kepada lebih baik,” ujarnya.

Susulan daripada itu, Daniel Firdaus berharap masyarakat dapat menyokong mereka menghalalkan hubungan dan seterusnya sama-sama bertanggungjawab menguruskan anak-anak.

Jelasnya, dia sudah melakukan bahagiannya untuk membantu, jadi pasangan tersebut perlu berusaha untuk menguruskan minyak dan penyelenggaraan kereta terbabit menerusi hasil bekerja ataupun sumbangan orang ramai.

“Saya juga berharap dia dapat menggunakan kereta itu untuk bawa anak ke hospital dan kegunaan yang baik-baik. Saya tiada kuasa untuk menghalang kerana kereta itu adalah milik dia yang saya dah settle dari segi servis dan tayar pun baharu.

“Untuk seterusnya seperti minyak dan maintenance akan datang, itu dia kena usaha sendiri termasuk menerusi sumbangan orang lain.

“Saya sudah tolong bahagian saya dengan menyediakan kereta untuk keperluan. Lain-lain seperti kewangan, orang lain pun boleh tolong. Bantulah dengan ikhlas,” katanya.

Terdahulu, berita tentang pasangan viral membawa anaknya yang mengalami penyakit kronik menaiki motosikal telah mendapat liputan ramai termasuklah Perdana Menteri Malaysia.

Namun, disebalik kisah mereka rupanya pasangan tersebut belum lagi bernikah sehingga ramai yang rasa tertipu dengan hal berkenaan.

Akan tetapi, pasangan itu telah tampil mengakui perkara terbabit dan menyatakan yang mereka akan segera menikah pada minggu hadapan memandangkan dokumen perkahwinan sudah disiapkan.