“Babak berkemban ia adalah satu kerja seni” – Sasqia Dahuri

“Babak berkemban ia adalah satu kerja seni” – Sasqia Dahuri

 

Pelakon Sasqia Dahuri menafikan babak mandi berkemban yang dilakonkannya dalam filem Tafakur sebagai ‘umpan’ untuk menarik penonton menyaksikan karya itu.

Sebaliknya, Sasqia atau nama sebenarnya, Nurlisasqia Ahmad Dahuri, 39, menyifatkan babak itu sebagai satu nilai seni dari sudut pandangan pengarah filem itu, Feisal Aizuddin.

“Sejujurnya, ini adalah kali pertama saya membawakan watak berkemban dan saya sendiri tertanya-tanya babak ini boleh lepas Lembaga Penapis Filem (LPF) ke?

“Bagi pengarah filem bebas seperti Feisal, babak berkemban ia adalah satu kerja seni.

“Ia bukanlah bertujuan untuk publisiti atau strategi pemasaran kerana tiada tarikan seksual langsung dalam babak ini,” katanya menurut BH Online.

Mengulas keperluan untuk mewujudkan babak itu, Sasqia berkata, ia untuk memberikan gambaran terperinci keadaan dirinya yang mengalami masalah kesihatan mental.

“Awalnya, saya hanya mahu menangis sahaja untuk menggambarkan masalah kesihatan mental yang dihadapi.

“Namun, mencadangkan untuk mewujudkan babak mandi berkemban selepas berbincang.

“Visual untuk babak ini pun dipaparkan dalam keadaan sedikit gelap dan memang tak nampak sangat.

“Apa yang penonton boleh nampak adalah saya seperti seorang yang sedang berdepan kehilangan kerana dikhianati suami sendiri,” jelas Sasqia yang juga penerbit filem.

Sementara itu, untuk membawakan watak wanita mengalami masalah kemurungan, Sasqia membuat kajian terperinci bagi memastikan lakonannya nampak lebih nyata.

“Saya seorang yang gemarkan filem berkonsepkan ‘psycho thriller’ dan banyak menonton filem Hollywood dari genre seperti ini..

“Bila dapat watak ini, saya senaraikan ciri-ciri seorang yang mengalami masalah kesihatan mental. Antaranya, tak perlu mengenakan solekan tebal.

“Saya tak kisah kalau nampak buruk kerana itulah juga keadaan mereka yang mengalami masalah kemurungan,” jelasnya.

Selain Sasqia, filem terbitan Feisk Production dan Stelo Entertainment itu turut menampilkan Luqman Hafidz, Syazani Zikry dan Amylia Aidura.

Ia bakal menjengah pawagam di seluruh negara bermula esok.