Azrul Zaidi sangsi, pelik cara isteri Along Cham minta sumbangan bantuan
Azrul Zaidi sangsi, pelik cara isteri Along Cham minta sumbangan bantuan
Pelawak dan pengacara, Azrul Zaidi mendedahkan isteri Along Cham iaitu Afreena Suhaimi ada menghubunginya beberapa kali untuk memohon sumbangan bantuan ketika suaminya itu berada dalam tahanan polis.
Azrul ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia bagaimanapun tidak membuat sebarang sumbangan kerana berasa sangsi dengan cara wanita itu meminta sumbangan.
“Saya dihubungi Afreena melalui Instagram ketika Along berada dalam tahanan polis. Saya memang tidak mengenalinya, sehingga dia memperkenalkan diri sebagai isteri Along.
“Walaupun saya dan Along sudah lama tidak berhubung, tapi saya anggap mungkin dia ingin meluahkan sesuatu dan meminta nombor telefon saya.
“Kemudian apabila dia menghubungi saya di WhatsApp dia maklumkan ada membuat tabung bantuan untuk membayar kos guaman dan berkongsi Kod QR sekiranya saya ingin menyumbang.
“Tetapi selang beberapa minit, dia bertanya adakah saya sudah membuat transaksi. Tidak terhenti di situ, dia mesej saya beberapa kali dan bertanyakan soalan sama membuatkan saya sudah berasa sangsi dan pelik,” katanya.
Menurut Azrul, dia juga terkejut apabila mendapati segala mesej yang dihantar oleh wanita itu sudah dipadam.
“Sejak pendedahan Along mengenai duit yang didakwa dikutip isterinya tidak sampai ke tangannya, saya terus mencari mesej perbualan kami.
“Tapi malangnya segala mesej yang dihantarnya sudah dipadam di Instagram dan WhatsApp,” katanya.
Dalam masa sama, Azrul memberitahu, hubungannya dengan Along sudah lama ‘renggang’ apabila mereka sudah tidak berhubung sejak 2016.
“Kali terakhir saya berhubung adalah ketika bertanding dalam Maharaja Lawak Mega 2016, selepas itu kami buat hal masing-masing.
“Namun isterinya maklumkan Along masih menyimpan nombor telefon saya lagi. Cuma isterinya tidak tahu sama ada saya masih menggunakan nombor telefon sebelum mesej di Instagram,” katanya.
Semalam Along mendakwa Afreena menyeleweng dana sumbangan hampir RM100,000.
Malah, Along mendedahkan pelakon Datuk Aaron Aziz antara rakan artis yang memberikan sumbangan terbabit.
Dalam pada itu, Afreena memaklumkan dia sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan wanita bernama Ika selepas menyalurkan wang sebanyak RM95,180 untuk membantu suaminya yang sedang ditahan polis.