“Saya tak sangka..” – Bakal berlakon walau berkerusi roda, Azlan Komeng terharu Zul Huzaimy tawar kerja
“Saya tak sangka..” – Bakal berlakon walau berkerusi roda, Azlan Komeng terharu Zul Huzaimy tawar kerja.
Pelakon Azlan Komeng terharu Zul Huzaimy tawar kerja kepadanya meskipun dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan selepas ditimpa kemalangan beberapa bulan lalu.
Memetik laporan Astro Gempak! Azlan atau nama sebenarnya Muhammad Azlan Kamiran berkata, dia diberikan watak mengikut keupayaan dirinya.
Dalam pada itu, pelakon lagak ngeri itu berterima kasih kepada Zul Huzaimy Marzuki kerana sudi melawatnya dan memberi tawaran untuk kembali berlakon tidak lama lagi.
“Terima kasih. Itu sahaja yang saya boleh cakap setakat ini.
“Baru-baru ini saya dikunjungi rakan artis Zul Huzaimi. Insya-Allah Februari depan saya akan berlakon,” katanya.
Katanya lagi, Zul Huzaimy akan memberikan apa sahaja watak bersesuaian dengan keadaan fizikalnya, lebih-lebih lagi berkerusi roda.
“Saya betul-betul tak sangka dan terharu sangat kerana masih ada yang ingat dan sanggup nak tawarkan saya berlakon.
“Dia (Zul) bagitahu, macam mana keadaan sekalipun saya ketika itu, akan ada watak untuk saya. Allah..saya waktu itu memang tak tahu nak cakap apa,” katanya kepada Gempak.
Sejak mengalami kemalangan bulan lalu, Azlan memberitahu dirinya akur akan kehilangan kerjaya dan sumber pendapatan utama sebagai anak seni.
Azlan berkata, dia memang tidak akan mengambil tawaran lakonan yang memerlukan dirinya beraksi seperti sebelum ini.
“Terus terang saya cakap. Bila lihat keadaan diri sendiri.
“Saya memang tahu yang saya akan susah dapat tawaran. Memang takkan ada yang mahu ambil saya berlakon lebih-lebih lagi dengan watak aksi.
“Waktu itu dalam kepala otak saya “apa yang aku nak buat? Tak kan nak duduk terbaring je” sampai macam itu saya fikir.
“Tapi Tuhan Maha Kaya, rezeki yang disusun untuk saya sangat cantik,” ujar Azlan Komeng.
Sementara itu, Azlan memberitahu dia kini hanya mampu menemani isterinya, Nilam untuk mencari rezeki dengan membuat sambal buatan sendiri yang dijual menerusi online.
Bulan lalu, pelakon aksi dan watak jahat berusia 48 tahun itu mengalami patah kaki kiri selain cedera di muka, kepala, tangan dan kaki selepas terbabit dalam kemalangan di Kuala Lipis, Pahang, awal pagi dalam kejadian berkenaan.
Keadaan menimpa Azlan telah mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pelakon dan pengarah, Zul Huzaimy dengan membuat kutipan sumbangan bagi membantu meringankan beban sahabatnya yang tidak boleh bekerja selepas terlibat kemalangan.
Ujar Zul, kutipan itu dibuat dalam kalangan rakan dunia permotoran dan akan menyerahkan sumbangan tersebut ketika melawatnya.