Saman RM24 juta: Azizan Osman tidak melatah atau beremosi

Saman RM24 juta: Azizan Osman tidak melatah atau beremosi
Pengasas Richworks, Profesor Datuk Wira Dr Azizan Osman, mengambil pendekatan untuk tidak melatah atau beremosi selepas didakwa berdepan tuntutan saman berjumlah lebih daripada RM24 juta bersama tiga individu lain termasuk isterinya.
Sebaliknya, beliau akan mengambil segala langkah yang sewajarnya untuk mempertahankan kebenaran serta maruah mereka.
“Bagi kami, kebenaran tidak ditentukan oleh tular dan tekanan awam, tetapi melalui prinsip keadilan dan bukti yang sah dalam sistem perundangan negara ini.
“Satu writ saman telah difailkan terhadap kami bertiga dan telah disebarkan secara terbuka oleh individu terbabit kepada umum. Kami menghormati hak beliau di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk membawa pertikaian ke mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Isnin.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan dalam lebih seminggu lalu, pelbagai tuduhan dan spekulasi telah ditularkan di media sosial yang melibatkan dirinya, isteri, Datin Wira Hasdiana Ahmad, dan Pengarah Eksekutif RichWorks, Hasnita Ahmad.
“Kami tidak akan membalas dengan kata-kata kesat, fitnah, atau drama di media sosial kerana itu hanya akan mencemarkan dan mempermainkan institusi kehakiman.
“Sebaliknya, kami memilih untuk melindungi pasukan kami dan organisasi yang telah kami bina bersama selama bertahun-tahun, menjaga prinsip serta nilai dalam menghadapi ujian dan bertindak secara matang, profesional serta berlandaskan lunas undang-undang,” katanya sambil menjelaskan hak mereka juga dilindungi undang-undang.