Peniaga jual ayam goreng RM1 jadi perdebatan ramai
Peniaga jual ayam goreng RM1 jadi perdebatan ramai
Pada hari ini rata-rata harga makanan meningkat ekoran kenaikan harga barangan basah.
Bagaimanapun masih ada segelintir peniaga yang masih mampu untuk menjual makanan mereka pada harga RM1, antaranya ayam goreng.
Menerusi hantaran video TikTok @ezlokal.food, ia memaparkan seorang lelaki ‘menceduk’ ayam goreng pelbagai perisa ke dalam bakul yang disediakan.
@ezlokal.food Lain peniaga lain kos, sebagai pembeli kita kena faham peniaga kan? #sembangentertainment #makananmurah #b40 #beritatiktok #fyp #klfoodie #viral #ezlokal #berita #videoviral
Menjengah ruangan komen video tersebut, ramai netizen yang berkongsi pandangan peribadi mengenai ayam goreng murah tersebut.
Majoriti mempersoalkan mengapa ramai peniaga tidak boleh ‘tiru’ peniaga yang menjual makanan itu pada harga satu ringgit sahaja.
Bagi menjawab persoalan itu, warganet melontarkan pelbagai jawapan yang munasabah.
Harga makanan boleh dijual semurah itu apabila peniaga menjual secara volume. Oleh kerana ayam dipotong kecil-kecil, ia membuatkan pembeli akan membeli dalam kuantiti banyak.
Sekaligus sedikit sebanyak peniaga akan dapat kembali semula modal, dan mendapat keuntungan.
“Pendapat saya ayam satu ringgit ini memang murah tapi pelanggan tidak akan beli satu ketul. Paling-paling macam lelaki dalam video itu beli satu mangkuk.
“Dia jual seringgit, tapi orang tidak akan beli 1 saja. Kaedah dia sama macam masuk kedai EcoShop. Lagi murah lagi banyak orang beli.
“Daripada beli satu ketul dah RM6.50-RM7, jadi bila agak-agak 6 ketul ayam satu ringgit lagi puas, siap ada sos Korea lagi itu,” – kata netizen.
Dalam masa sama, lokasi juga memainkan peranan untuk menjual makanan itu pada harga satu ringgit.
Ayam goreng boleh dijual semurah itu sekiranya ia dijual menerusi gerai-gerai. Bagaimanapun sekiranya ayam goreng dijual di dalam kawasan pusat beli-belah, sudah pasti ia tidak dapat jual semurah itu kerana perlu mengambil kira kos-kos yang lain.
“Dia jual banyak. Dia main volume. Kalau kedai makan nak sediakan tempat duduk, sewa kedai dan macam-macam kos lain. Jangan samakan satu sama lain. kata netizen.
“Setiap tempat kos bahan mentah lain-lain. Lepas itu mereka (netizen) nak buat macam itu pun tengok tempat. Ada tempat pasar tani, pasar malam ramai orang ada tempat tak. Jadi kalau harga modal saja dah kasar lagikan keuntungan sedikit — senang cerita ikut tempat, penduduk, kos dan situasi.
“Yang ini dia ambik untung dari jualan kuantiti yang banyak, kena tengok pada kawasan tempat niaga dan masa niaga juga. Kalau pasar malam dan kawasan tu memang ramai baru peniaga berani buat macam ini,” kata netizen.
Dalam masa sama ada pelanggan yang pernah membeli ayam goreng satu ringgit menegur segelintir peniaga yang menjual ayam tersebut dalam saiz terlalu kecil.
“Tapi kebiasaannya ayam RM1 sekarang tepung saja lebih, isi ayamnya kecil saja.
“Saya selalu beli kena tepung tebal. Kalau tepung tebal rangup tak apa. Ini tepung tebal keras,” luah netizen.