Atlet badminton dilamar kekasih selepas rangkul pingat emas di Olimpik Paris
Pasangan beregu campuran dari China iaitu Huang Yaqiong dan Zheng Siwei telah berjaya merangkul pingat emas untuk negara mereka dalam acara beregu campuran badminton di sukan Olimpik Paris 2024, malam tadi.
Namun, apa yang menarik perhatian peminat sukan yang berada di La Chapelle Arena di Paris adalah apabila Huang Yaqiong telah dilamar oleh kekasihnya selepas berjaya mendapat emas untuk acara sukan tersebut.
Dalam video yang tular di media sosial, Huang Yaqiong yang baru sahaja selesai acara pemberian pingat itu kemudiannya menerima jambangan bunga dari kekasihnya yang juga atlet badminton beregu lelaki China iaitu Liu Yuchen.
Selepas Huang Yaqiong menerima jambangan bunga itu, Liu Yuchen kemudiannya mengeluarkan kotak cincin dari poket seluarnya sebelum berlutut di hadapan kekasihnya itu untuk melamarnya.
Haung Yaqiong dilihat tersenyum dan dia juga telah menerima lamaran kekasihnya sebelum cincin lamaran itu disarungkan ke jarinya.