Asmuni Awi turun padang bantu mangsa ribut di Gugusan Manjoi

Asmuni Awi turun padang bantu mangsa ribut di Gugusan Manjoi

 

Asmuni Awi turun padang bantu mangsa ribut di Gugusan Manjoi

Seramai tujuh keluarga di Gugusan Manjoi yang terjejas teruk dalam kejadian ribut lewat petang Sabtu lalu menerima bantuan kecemasan segera hasil tindakan pantas Pusat Komuniti DUN Manjoi dengan kerjasama Pejabat Penghulu, JPKK dan agensi-agensi berkaitan.

Dato’ Haji Asmuni Awi, Pegawai Khas kepada YAB Menteri Besar Perak bagi DUN Manjoi, turun padang bersama Penghulu Besar Ipoh, Dr. Sani, Penghulu Mukim Manjoi, En Ainuddin serta Pengerusi-pengerusi JPKK dari kawasan terlibat bagi meninjau sendiri kerosakan yang dialami penduduk di Kampung Sungai Tapah, Sungai Kati, KDAS 2 dan KDAS 3.

“Sebanyak tujuh buah rumah mengalami kerosakan serius. Kami telah mengarahkan kontraktor PLB memasang kanvas perlindungan dan kerja-kerja pemasangan selesai malam tadi. Ini bagi mengelakkan kerosakan lanjut terutama sekiranya hujan berterusan,” kata Asmuni.

Selain penyediaan kanvas, beliau turut menyumbangkan 40 keping atap kepada rumah-rumah lain yang turut mengalami kerosakan pada bahagian bumbung, serta memberikan sumbangan kewangan peribadi kepada tujuh keluarga paling terkesan.

“Sebuah homestay juga telah disediakan sebagai tempat tinggal sementara kepada satu keluarga yang mengalami kerosakan paling teruk,” tambah beliau.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), pasukan bomba serta penduduk setempat yang berganding bahu memulihkan semula kerosakan kemudahan awam seperti bekalan elektrik, talian komunikasi dan sistem perparitan.

Asmuni menyeru semua pihak agar terus cakna dan prihatin dalam membantu mangsa bencana serta mengamalkan sikap saling membantu di saat-saat sukar.