Wujud seawal tahun 1909, ini asal usul nasi lemak
Wujud seawal tahun 1909, ini asal usul nasi lemak
“Nasi lemak”, siapa yang tidak kenal dengan hidangan kebangsaan Malaysia ini?
Dari gerai tepi jalan hingga restoran mewah, aroma nasi yang dimasak bersama santan, dihidangkan dengan sambal pedas manis ini tetap menjadi kegemaran ramai. Ia kekal popular, tak pernah lapuk dek zaman.
Tambahan pula, pelengkap seperti ikan bilis rangup, telur rebus, dan kacang goreng menjadikan setiap suapan lebih ‘puas’.
Namun, pernahkah anda terfikir bagaimana “nasi lemak” ini mula wujud sehingga begitu sinonim dengan “Malaysia”?
Nasi Lemak sebenarnya mempunyai sejarah yang rapat dengan masyarakat petani Melayu di kampung-kampung, terutamanya di kawasan sawah padi
Hidangan ini bukan sekadar makanan, tetapi satu keperluan bagi golongan petani, nelayan dan buruh untuk mendapatkan tenaga sepanjang hari bekerja.
Kewujudan pertama nasi lemak direkodkan seawal tahun 1909 dalam buku “The Circumstances of Malay Life” oleh Sir Richard Olof Winstedt.
Ketika itu, nasi lemak dianggap sebagai ‘hidangan praktikal’ kerana ia mengenyangkan dan kaya nutrisi.
Menurutnya, dua elemen utama menghasilkan nasi lemak ialah nasi yang dimasak dengan santan kelapa dan sambal yang melengkapkan rasa hidangan ini.
Pada zaman dahulu, santan kelapa mudah didapati oleh masyarakat, menjadikannya bahan utama dalam masakan Melayu.
Selain itu, ikan bilis dan udang kering menjadi pilihan sumber protein kerana sukar untuk mendapatkan protein segar, terutamanya di kawasan pedalaman.
Gabungan bahan-bahan sederhana ini menunjukkan kreativiti masyarakat dahulu dalam memanfaatkan sumber semula jadi untuk memenuhi keperluan pemakanan mereka.
Nasi lemak bukan sekadar makanan, ia adalah simbol bagaimana budaya Malaysia berkembang melalui percampuran tradisi yang berbeza.
Keunikan hidangan ini datang daripada gabungan pengaruh tiga budaya utama – Melayu, Cina dan India.
Masyarakat Melayu memperkenalkan asas nasi lemak dengan menggunakan santan kelapa dan daun pandan, memberikan aroma harum yang memikat.
Pengaruh Cina pula hadir melalui masyarakat Peranakan, yang menaikkan rasa sambal dengan menambah pes udang yang diperam, menjadikan rasanya lebih ‘kaya’.
Sementara itu, masyarakat India menyumbang elemen tambahan seperti ayam goreng dan pelbagai rempah, menjadikan nasi lemak satu hidangan yang lebih lengkap dan memuaskan.
Siapa sangka, nasi lemak yang kelihatan sederhana ini sebenarnya menyimpan sejarah unik yang turut mencerminkan perpaduan rakyat Malaysia sejak dahulu lagi?
Nasi lemak mula terkenal apabila masyarakat di perkampungan berpindah ke bandar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang untuk mencari pekerjaan.
Dalam usaha untuk mencari rezeki, nasi lemak dijual di gerai tepi jalan dengan harga yang rendah, menjadikannya hidangan kegemaran ramai.
Pada era 1960-an, nasi lemak kemudiannya diiktiraf sebagai makanan kebangsaan dan mula berkembang dengan pelbagai versi.
Dahulunya, nasi lemak hanya dimakan bersama ayam goreng, tetapi kini ia turut dinikmati dengan rendang, daging dan pelbagai lauk lain.
Hari ini, nasi lemak bukan sahaja popular di Malaysia, malah turut disaji di seluruh dunia, termasuk di negara Barat.
Ini menjadikannya simbol perpaduan rakyat Malaysia yang terus dihargai di peringkat antarabangsa.
Buktinya, nasi lemak ‘mendunia’ selepas dikongsikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sebagai hidangan kegemaran warga tempatan dan pelancong.