“Jadi artis, tapi nyanyi lagu orang buat apa?” – Man Bai
“Jadi artis, tapi nyanyi lagu orang buat apa?” – Man Bai
Lambakan penyanyi baharu dalam industri membuktikan industri muzik tanah air kini semakin berkembang.
Bagaimanapun, dari aspek lain, tidak ramai dalam kalangan mereka benar-benar dikenali dengan lagu nyanyian mereka.
Teguran dibuat penyanyi senior, Man Bai yang berpendapat penyanyi pelapis perlu ada ‘killer song’ untuk memastikan mereka kekal relevan dalam industri.
“Dalam industri, kita memerlukan ‘killer song’. Kalau setakat nak buat album dan harapkan nama, orang tidak akan tahu lagu penyanyi itu.
“Kita kena ada ‘signature’ dalam industri. Oh! Dia ni nyanyi lagu ni…
“Kalau jadi artis, tapi nyanyi lagu orang buat apa?,” katanya kepada BH Online.
Dalam perkembangan berkaitan, vokalis kumpulan Gersang itu memuji dua penyanyi wanita, Aina Abdul dan Ernie Zakri yang dianggap antara artis muda berbakat besar.
“Saya suka penyanyi seperti Aina dan Ernie. Ernie beruntung kerana lagu Masing-Masing ciptaan Ade Govinda makin melonjakkan namanya.
“Kalau tidak orang tak tahu lagunya. Saya sendiri sebelum ini cuma kenal nama dia sahaja.
“Saya tak tahu pun apa lagu hit Ernie. Aina pun saya tak tahu apa lagu popular. Orang cuma tahu nama sahaja, tapi tak tahu lagu.
“Kalian (wartawan) mungkin tahu. Tapi, saya akui mereka memang penyanyi yang bagus dan berbakat besar,” puji penyanyi lagu Kau Ilhamku itu.
Terdahulu, Man Bai hadir pada sidang media Konsert Mega Hitz 3 Dekad Vol 1 yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 25 Januari ini yang membabitkan sembilan penyanyi dan 22 lagu dipersembahkan.
Mengulas pembabitannya dalam konsert itu, Man Bai berkata, dia teruja kerana beraksi sepentas dengan rakan penyanyi lain seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan, Datuk Nash, Ramlah Ram, Zur Eda, Noorshila Amin dan Amir Masdi.
“Saya harap konsert ini mendapat sambutan baik dan berjaya kerana seronok dapat berkumpul buat persembahan dengan kawan-kawan lama dalam industri.
“Lagu-lagu akan dinyanyikan juga semuanya pernah popular dulu dan penonton pasti terhibur.
“Untuk persembahan saya nanti, insya-Allah akan cuba berikan yang terbaik,” janjinya.