“Saya cuba bertahan tapi gagal” – Aprena Manrose umum bercerai

“Saya cuba bertahan tapi gagal” – Aprena Manrose umum bercerai
Spekulasi rumah tangga pelakon Aprena Manrose goyah terjawab apabila dia mengumumkan perkahwinan dengan Mohd Afiq Hazman, sudah berakhir.
Melalui hantaran Instagram (IG), Aprena atau nama sebenar, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 32, memaklumkan dirinya bukan lagi isteri Mohd Afiq. Bagaimanapun, Aprena tidak mendedahkan butiran terperinci termasuk punca dan tarikh perceraian.
“Ya, saya bukan lagi isteri kepada Afiq. Kalau ada jodoh tak ke mana,” tulisnya pada entri yang memaparkan beberapa keping foto bersama bekas suami.
Menerusi hantaran sama, anak kepada penyanyi Iwan Syahman itu memaklumkan, dia sudah berusaha menyelamatkan perkahwinan itu, namun, sia-sia.

Aprena memaklumkan dia dan Mohd Afiq sudah berpisah melalui hantaran Instagram (IG).
“Saya cuba, bertahan dan usaha tetapi saya gagal…Tiada lagi kita.
“Terima kasih atas rasa yang diberi dan rasa yang luar biasa… Semoga berbahagia.
“Saya undur diri dahulu,” luahnya sambil memberi bayangan sukar untuk dia dan Afiq kembali bersama.
Sementara itu, Aprena berharap semua pihak dapat mendoakan yang terbaik untuk dirinya dalam menempuh ujian mendatang.
“Selamat tinggal untuk sekarang atau mungkin selama-lamanya. Doakan saya mengharungi fasa yang baru ini dengan tenang,” katanya.
Sebelum ini, desas desus Aprena berdepan krisis rumah tangga hangat diperkatakan, namun, dia menafikannya.
Aprena dan Afiq berkahwin pada 2016. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.