Nombor plat ‘ANU 1’ terima bidaan tertinggi RM269,000
![Nombor plat ‘ANU 1’ terima bidaan tertinggi RM269,000 Nombor plat ‘ANU 1’ terima bidaan tertinggi RM269,000](https://beritaperak.com/wp-content/uploads/2025/01/1-1.jpg)
Nombor plat ‘ANU 1’ terima bidaan tertinggi RM269,000
Nombor plat pendaftaran kenderaan ‘ANU 1’ yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak menerima bidaan RM269,000.
Ia menjadi bidaan tertinggi menerusi sesi yang berlangsung selama lima hari bermula 19 Disember hingga 23 Disember lalu bagi siri plat ANU.
Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan berkata, seramai 1,768 pembida menyertai bidaan siri plat itu dengan hasil kutipan bidaan keseluruhan sebanyak RM2.37 juta.
Menurutnya, daripada 1,768 pembida itu, sebanyak 3,794 nombor sudah terjual.
“Kita ada 10,000 nombor ANU namun nombor yang dibida sebanyak 1,768 nombor.
“Namun sebagai perbandingan untuk negeri Perak, jumlah nilai bidaan siri ANU ini tidak dapat menandingi siri plat AMG yang masih mendahului untuk negeri Perak, memandangkan banyak peminat Mercedes Benz membida AMG,” katanya pada sidang akhbar Operasi Ambang Tahun Baru di Hadapan Institut Memandu Sri Perak, Meru Raya, di sini malam ini.
Proses pendaftaran dan bidaan dilakukan secara dalam talian menggunakan platform JPJeBid.
Bidaan nombor plat ANU berkenaan sebelum ini dilapor mendapat perhatian warganet kerana perkataan “anu” adalah kata ganti nama yang digunakan ketika merujuk kepada seseorang atau sesuatu.
Bagaimanapun perkataan ‘anu’ juga dalam percakapan harian, turut merujuk kepada sesuatu yang berunsur kedewasaan.