Doktor terima lamaran mewah anak Sultan Kolaka, hantaran 1 bilion rupiah

Doktor terima lamaran mewah anak Sultan Kolaka, hantaran 1 bilion rupiah
Seorang doktor di Makasar, Indonesia menjadi perhatian ramai selepas menerima lamaran mewah daripada anak Sultan Kolaka yang menghadiahkannya wang hantaran sebanyak satu bilion rupiah (kira-kira RM260,295), selain rumah, tanah dan pelbagai barangan bernilai tinggi.
Tribun News melaporkan, majlis lamaran penuh glamor itu berlangsung di sebuah hotel lima bintang, Hotel Claro, Makassar, Sulawesi Selatan, pada Ahad lalu dan menjadi bualan hangat di media sosial sejak ia dimuat naik pada 20 April lalu.
Menerusi rakaman tular di Instagram dan Facebook termasuk akaun @kolakainfo serta @Risnawati, juruacara majlis dilihat menyenaraikan semua hantaran yang diberikan pihak lelaki kepada si gadis, termasuk sebidang tanah di Kolaka, rumah di Kompleks Gardenia Makassar dan set barangan kemas emas bertatahkan berlian.
Turut disebut dalam hantaran adalah sepasang cincin emas, set lengkap peralatan solat serta dulang adat tradisional dikenali sebagai bosara, selain wang belanja perkahwinan atau ‘panai’ sebanyak satu bilion rupiah yang bersamaan harga sebuah Toyota Alphard.
Lamaran mewah dilakukan Afdhal anak lelaki Sultan Kolaka itu digambarkan sebagai seorang pewaris diraja yang bukan sahaja tampil dengan cinta, malah membawa simbol komitmen dalam bentuk harta benda yang nyata seperti rumah dan tanah.
“Antara semua pemberian, ada sepasang cincin emas dan set barangan kemas yang menjadi saksi bisu hari bersejarah itu. Dan wanita bertuah itu kini bukan lagi sekadar kekasih, tetapi bakal permaisuri kepada kisah keluarga bangsawan yang terkemuka,” tulis kapsyen di Facebook @Risnawati.
Malah, majlis lamaran itu hanya permulaan kerana menurut hantaran sama, penyanyi Sheila On 7 sedang dipersiapkan sebagai kejutan utama sempena majlis resepsi pasangan itu kelak, selepas dua perkahwinan terdahulu keluarga itu dimeriahkan oleh artis popular Indonesia iaitu Syahrini dan Zaskia Gotik.
Sultan Kolaka, H Syukri sememangnya dikenali sebagai individu yang pemurah dan sering menganjurkan majlis serba mewah di Kolaka, sekali gus menjadikan lamaran Afdhal kepada doktor berkenaan bukanlah sesuatu yang mengejutkan kepada warga tempatan.
Bagaimanapun, sehingga kini tarikh rasmi pernikahan pasangan itu masih belum diumumkan, namun kisah mereka sudah mencuri perhatian ribuan netizen yang rata-ratanya melabel doktor itu sebagai ‘wanita paling bertuah tahun ini’.