“Apa saya mahu jawab kepada anak saya?” – Keadaan kini ‘berbeza’, Faisal Halim luah rasa sebak

“Apa saya mahu jawab kepada anak saya?” – Keadaan kini ‘berbeza’, Faisal Halim luah rasa sebak

 

“Apa saya mahu jawab kepada anak saya?” – Keadaan kini ‘berbeza’, Faisal Halim luah rasa sebak

Penyerang pasukan Selangor, Faisal Halim, menyimpan harapan untuk kembali menyarung jersi kebangsaan, meskipun sulit baginya mendapatkan semula rentak permainan asal.

Persoalannya, sempatkah bekas pemain Terengganu ini memperkuat skuad Harimau Malaya menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 di Arab Saudi yang dijadualkan Mac tahun depan?

Ketika ini, aura Faisal sebagai pemakai jersi nombor tujuh kebangsaan masih tiada tandingan.

Dalam laporan khas oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, pemain yang digelar “Miki” ini mengungkap seribu kenyataan menitikkan air mata mengenai perjalanannya bangkit daripada tragedi yang mengubah hidupnya.

Miki mendedahkan bahawa dia kini terpaksa menggunakan lebih banyak usaha untuk melakukan pergerakan, terutama semasa di padang.

“Angkat tangan, bergerak mahupun berlari sangat susah bagi saya. Lebih-lebih lagi ketika sedang bermain bola sepak.

“Saya perlu mempelajari gerakan baru supaya dapat mengelak daripada kecederaan di tempat sama.

“Sudah tentu keadaan berbeza. Dalam keadaan sekarang, saya rasa seperti tidak normal berbanding pemain lain.

“Saya perlu biasakan dan terima dengan keadaan terkini. Tangan, badan dan parut saya,” katanya.

Dalam masa yang sama, Miki tidak dapat menyembunyikan rasa sebak setiap kali anaknya bertanya mengenai insiden pahit yang pernah dialaminya.

Malah, dia turut meluahkan rasa sebak berdepan anaknya.

“Daddy, kenapa orang jahat buat dekat daddy? Apa saya mahu jawab kepada anak saya?” tambah Miki.

Untuk info, kes simbahan asid yang menimpanya kekal menjadi misteri tanpa perkembangan baharu, meskipun pernah menarik perhatian masyarakat seantero dunia.