Anak Perak digesa rebut peluang kerja sebelum diisi pekerja asing

Anak Perak digesa rebut peluang kerja sebelum diisi pekerja asing
Rakyat Perak khususnya golongan muda digesa merebut peluang pekerjaan yang sedang dan bakal ditawarkan menerusi pembangunan sektor perindustrian negeri sebelum kekosongan itu diisi oleh tenaga kerja luar.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peluang pekerjaan yang diwujudkan hasil pelaksanaan agenda pembangunan di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 perlu dimanfaatkan sepenuhnya rakyat negeri itu.
“Inilah masa untuk anak Perak rebut peluang, tak perlu berhijrah ke negeri lain tetapi syaratnya mereka mesti ada sijil kemahiran yang diiktiraf.
“Tapi kalau orang Perak tak ambil peluang ini, kita buka kepada orang Perlis, Terengganu, Kelantan… tapi tak apa sebab orang Malaysia. Kalau tak cukup juga, kita buka peluang kepada orang Bangladesh, Indonesia dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sebelum menghadiri siaran langsung Malaysia Hari Ini (MHI) di sini hari ini.
Sebelum ini Saarani memaklumkan, beberapa projek berimpak tinggi sedang dilaksanakan seperti Automotive High-Tech Valley (AHTV), Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan Silver Valley Technology Park (SVTP) yang akan menjadi platform penting untuk graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Perak mempamerkan kebolehan dan kemampuan mereka.
Menurut beliau, projek berkenaan dijangka menawarkan lebih 100,000 peluang pekerjaan di Perak dalam tempoh 10 tahun menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030.
Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk bagi menyedarkan pelajar tingkatan empat dan lima mengenai potensi kerjaya melalui TVET.
Menurutnya, stigma yang menganggap TVET sebagai pilihan kelas kedua perlu dikikis kerana sektor itu kini menawarkan pendapatan lumayan dan permintaan tinggi di pasaran kerja.
Tambah beliau, semua institusi pendidikan TVET di Perak juga perlu menyesuaikan bidang pengajian dengan keperluan industri setempat.
“Kerajaan negeri kini sedang giat melaksanakan kempen kesedaran ke seluruh daerah bagi memaklumkan mengenai potensi besar kerjaya dalam bidang TVET.
“Daripada sumber yang saya peroleh, sebanyak 94 peratus graduan TVET mendapat pekerjaan. Kita bawa turun alumni TVET yang berjaya yang kini jadi chef, tukang kimpal, pakar animasi supaya pelajar boleh nampak dan percaya masa depan mereka dalam bidang ini.
“Sebab itulah kita sedang berbincang dengan pemain industri dan institusi latihan supaya penawaran kursus benar-benar relevan dengan industri yang bakal serap pelajar ini bekerja.
“Kita tidak mahu peluang yang ada ini lepas ke tangan orang luar hanya kerana anak Perak tiada kemahiran. Kita mahu Perak makmur, rakyat sejahtera makmur itu datang bila rakyat ada kerja dan boleh berbelanja,” jelasnya.