Anak pemilik Restoran 35 kesal ibu dituduh biadap & digelar ‘makcik mulut puaka’

Anak pemilik Restoran 35 kesal ibu dituduh biadap & digelar ‘makcik mulut puaka’

 

Semalam, tular di media sosial mengenai layanan pemilik sebuah restoran ‘terkemuka’ di Melaka yang dikatakan telah dimaki sehingga mendapat perhatian ramai.

Terbaru, anak kepada pemilik Restoran 35 yang terletak di Bandar Hilir, Melaka tampil memperjelaskan situasi sebenarnya.

Kesal dengar cerita ‘berputar-putar’

Dia yang mahu dikenali sebagai Ila meluahkan kekesalan dengan dakwaan yang dilemparkan oleh wanita berkenaan di laman Facebook bagi memburuk-burukkan reputasi restorannya itu.

Jelas Ila, wanita itu sebenarnya ‘memutarbelitkan perkara sebenar, di mana dia datang ke kedai mereka pada jam 4 petang dan bukannya 2 petang seperti yang ditulis di media sosial.

“Dia sebut datang pukul 2 petang, tapi sebenarnya pukul 4 petang.

“Apabila dah datang pukul 4 petang, memanglah banyak barang dan makanan sudah habis,”terangnya.

Dah maklumkan pada pelanggan, mereka akan tutup kedai awal kalau kehabisan barang

Selain itu, Ila memberitahu pelanggan tersebut sudah diberitahu bahawa kedai akan ditutup awal sekiranya barangan basah sudah kehabisan.

“Kedai saya bukan pukul 12 tengahari sampai 5 petang dan kadangkala akan ditutup awal, bergantung kepada stok bekalan makanan.

“Saya sudah beritahu pelanggan, sekiranya mereka mahu makan juga, kami akan sediakan apa yang ada sahaja,”jelasnya ketika dihubungi oleh pihak mStar.

Ila kesal dituduh harga makan di kedai mahal

Apa yang dikesali oleh wanita berusia 39 tahun, pelanggan berkenaan mendakwa harga makanan di kedai mereka sangatlah mahal dan tidak berpatutan.

Kata Ila, harga yang perlu dibayar oleh mereka adalah setanding dengan pesanan untuk sepuluh orang, lebih-lebih melihat kepada jenis lauk-pauk yang dimakan.

“Mereka pesan makanan bukannya sedikit sebab untuk sepuluh orang dengan membuat pesanan lauk ikan pari, kerabu mangga, telur dadar dan daging goreng kunyit.

“Setiap lauk yang dipesan semuanya dua piring besar dan kami mengenakan caj berdasarkan apa yang dipesan oleh mereka.”ujarnya lagi.

 

Mengenai dakwaan berhubung ibunya yang digelar ‘makcik puaka’ kerana kelantangannya bersuara di hadapan pelanggan, kata Illa, isu tersebut bukanlah perkara baharu.

“Malah sebelum restoran saya viral sebab isu influencer dua tahun lepas memang itu perangai mak saya. Kami bukan baru berniaga, dah berpuluh-puluh tahun.

“Kalau pelanggan yang regular, mereka tahu macam mana perangai mak saya. Daripada mak ayah pelanggan sehingga ke anak mereka memang kenal.

Pada September 2020, restoran berkenaan pernah tular gara-gara seorang usahawan wanita yang juga influencer didakwa dihalau ketika membuat reviu produk di premis itu.

Menerusi video yang tular, kedengaran beberapa suara yang melarang influencer tersebut mempromosikan produk kecantikannya di restoran mereka, sehingga memaksa wanita itu bertindak meninggalkan premis tersebut.