“Itu je yang saya mampu sediakan” – Ibu kecil hati baca mesej cikgu di grup WhatsApp, anak disuruh ponteng

“Itu je yang saya mampu sediakan” – Ibu kecil hati baca mesej cikgu di grup WhatsApp, anak disuruh ponteng

 

“Itu je yang saya mampu sediakan” – Ibu kecil hati baca mesej cikgu di grup WhatsApp, anak disuruh ponteng

Setiap kali jamuan secara potluck diadakan di sekolah anak-anak, ibu bapa adalah orang yang paling teruja.

Manakan tidak, merekalah yang akan melakukan persiapan tentang juadah yang ingin di bawa sama ada memasaknya sendiri atau sekadar membeli.

Apa yang penting bagi ibu bapa adalah mahu melihat anak mereka bergembira menghadiri jamuan bersama rakan-rakan di sekolah.

Namun, seorang ibu meluahkan kesedihannya menjelang jamuan yang diadakan di sekolah anaknya gara-gara mesej yang dihantar guru kelas.

“Esok jamuan dekat sekolah anak. Tapi sedih ada seorang cikgu ni tak kasi bawa pinggan, cawan, sudu, garfu plastik jenis pakai buang.

“Cikgu tu kata nanti kelas kotor. Tapi saya sediakan plastik sampah juga,” luahnya menerusi satu hantaran di laman sosial.

Tanpa mendedahkan lokasi sekolah dan umur anaknya, wanita itu berkata, cadangannya itu bertujuan untuk memudahkan murid-murid ketika jamuan diadakan.

“Idea tu saya ambil dalam Facebook sebab ada sesetengah ibu bapa yang terlepas pandang, anak-anak tak ada perkakasan macam tu setiap kali jamuan.

“Anak orang lain-lain dah bawa makanan, jadi biarlah anak saya bawa perkakas pakai buang tu. Tapi cikgu tak kasi siap sebut dalam grup WhatsApp suruh anak-anak bawa sendiri perkakas makan,” ujarnya.

Terus mengadu rasa kecewa, ibu berkenaan tampil menjelaskan kenapa dia berkeras untuk menyediakan perkakas itu bagi pihak anaknya.

“Itu je yang saya mampu nak sediakan… ia lebih baik daripada anak tak bawa apa-apa. Lain-lain yang ibu bapa tu mampu tu Alhamdulillah.

“Sebenarnya saya nak mudahkan urusan semua orang tapi lain pula yang jadinya,” jelasnya lagi.

Menerusi ruangan komen, rata-rata warga maya bersimpati dengan rintihan wanita itu sambil berkongsi pandangan dan reaksi masing-masing.

“Nak bawa pinggan, sudu, cawan yang betul-betul tu lagi leceh nak basuh. Budak-budak bukan reti sangat. Tak pun habis jamuan nanti tertukar dengan kawan la, hilang la.

“Kadang bawa yang pakai buang, budak-budak main campak-campak, tinggal merata-rata. Kalau bawa sendiri, murid-murid mesti kena bawa balik. Kalau tak, mak marah.

“Saya pasti tak wajib bawa, jadi tak mengapalah kalau tak dapat bawa makanan lain sekali pun. Banyak lagi makanan lain lagi murah rasanya,” demikian antara komen warga maya.

Dalam perkembangan terbaharu, wanita itu memaklumkan anaknya tidak mengikuti jamuan sekolah seperti yang dirancang.

“Esok anak saya tak hadir ke sekolah. Kelas pun tak kotor,” jawabnya ringkas.