Anak Dharma Harun dedah ditawarkan kerja tidak senonoh dengan bayaran RM1,000

Anak Dharma Harun dedah ditawarkan kerja tidak senonoh dengan bayaran RM1,000
Anak kedua pelakon Dharma Harun iaitu Muhammad Al Syafiq atau Syafiq, 36, pernah terfikir meninggalkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) demi mencari kerja tetap.
Syafiq berkata dia bagaimanapun hentikan niat itu kerana enggan kerja berbekalkan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saja selain sokongan moral daripada pelbagai pihak untuknya tamatkan pengajian.
“Sebenarnya saya terfikir banyak kali untuk berhenti belajar. Tapi dekan, pensyarah, dan semua cakap hal sama dengan saya. Mereka cakap saya berbeza, ada nilai di ASWARA menyebabkan saya ragu-ragu berhenti.
“Kawan-kawan saya pun kata sedikit masa lagi dan kalau berhenti, tetap juga akan bekerja dengan gaji SPM. Saya sudah boleh tanggung keluarga dengan kerja sambil belajar selama ini,” katanya.
Syafiq mengakui sebenarnya malu bercerita kepada umum mengenai isu kewangan keluarganya.
Bagaimana pun, dia terdesak kerana gajinya kerja sambil belajar kecil dan tidak mampu menampung kewangan mereka.
“Nak tahu tak cerita sedih sebab saya kongsi hantaran itu? Tuan rumah suruh kami berpindah. Tuan rumah itu baik tapi itulah ada hutang-hutang. Gaji saya kecil. Saya harap sangat program Deko Ibadah itu dapat tayang di TV supaya ada sumber kewangan.
“Disebabkan tidak berjalan lancar, tuan rumah minta keluar dalam masa sebulan. Saya ada cuba cari rumah lain nak pindah. Tapi bila dengar kami akan bayar dengan bantuan Baitulmal, orang tak tolong.
“Nak tak nak, saya memutuskan untuk cerita kesusahan kami kepada umum. Alhamdulillah, selepas itu ada saja rezeki masuk dan tuan rumah cakap selagi boleh bayar, masih boleh duduk. Apa-apa sumbangan yang dapat saya guna untuk tujuan itu tapi kerja pun tak tinggal,” katanya.
Terdahulu, Syafiq meluahkan rasa terkilan dengan kecaman netizen yang mendakwanya ‘goyang kaki’ dan mengharapkan bapanya Dharma, 69, saja kembali bekerja untuk menanggung keluarga.
Syafiq menjelaskan dia sebenarnya banyak melakukan kerja sambilan sebagai barista, model dan pelakon untuk menyara keluarga selama ini.
Namun, pendapatan kurang RM1,000 sebulan diraihnya tidak cukup.
Dalam pada itu, dia mendedahkan terima pelbagai tawaran kerja tidak senonoh sehingga membabitkan maruah diri. Antaranya ada individu berani menawarkan RM1,000 untuk memiliki tubuh badannya.
“Macam-macam tawaran dapat, contohnya ada yang nak sewa badan saya dengan harga RM1,000. Saya baru saja dapat mesej itu awal Julai ini. Ada tawaran yang lagi teruk sebenarnya tapi saya rasa tidak sesuai untuk berkongsi kepada umum,” katanya.
Dia mengakui tidak terkejut dengan tawaran sedemikian kerana kerjanya sebagai model juga.
Menurutnya, tawaran itu mungkin berpunca daripada hantaran foto portfolionya di media sosial.
Semalam, penerbit Richard Ung menganjurkan tayangan khas filem genre aksi Felai Fx yang dibintangi Dharma serta Syafiq di samping menyalurkan sumbangan kepada keluarga mereka.
Richard berkata, majlis yang berlangsung di Panggung 1, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), di sini itu lebih kepada membantu mengumpul sumbangan buat Dharma kerana kesempitan hidup dan bukannya untuk menjual filem Felai Fx.