Anak dedah ibu terpedaya dakyah program motivasi rumah tangga songsang

Anak dedah ibu terpedaya dakyah program motivasi rumah tangga songsang
Seorang pengguna media sosial tampil membuat pendedahan peribadi mengenai pengalaman penglibatan ibunya dalam sesi berbeza di bawah pengasas program kontroversi yang kini menjadi perbualan hangat di media sosial.
Dia yang enggan dikenali berkata, ibunya merupakan antara peserta yang pernah aktif mengikuti program berlainan dan pernah bertindak sebagai pengacara majlis dalam beberapa sesi ceramah pagi yang dianjurkan oleh pengasas tersebut.
Ujarnya lagi, ibunya hanya berhenti daripada terus menyertai program tersebut kira-kira dua tahun lalu, selepas menyedari modul yang dibawa semakin cenderung kepada unsur seksual.
“Aku boleh ‘spill’ pasal program itu sebab mak aku salah seorang yang terpedaya dengan dakyah. Kitorang bergaduh teruk bila dia habis puluh-puluh ribu sertai program.
“Mujur mak aku mula berhenti sendiri dua tahun lepas bila dia perasan modul itu dah lebih banyak berbicara seksual. Walaupun belum sampai level ‘Cloe’, tapi mak aku pernah jadi pengacara majlis untuk ceramah-ceramah pagi pengasas berkenaan,” katanya menerusi hantaran di Threads pada Sabtu.
Sebelum ini, seorang pengguna Facebook tampil mendedahkan secara terperinci situasi sebenar yang berlaku sepanjang penganjuran sebuah program motivasi berkaitan rumah tangga di Shah Alam, September lalu.
Menurutnya, insiden kontroversi tercetus pada malam terakhir program iaitu pada 30 September, ketika berlangsungnya sesi tertutup khas yang dihadiri kira-kira 50 peserta wanita.
Dalam pendedahan sama, lelaki itu turut memaklumkan, bukan hanya ibunya malah ramai individu yang pernah memegang jawatan tinggi dalam organisasi program berkenaan juga telah mengambil keputusan untuk berundur kerana beranggapan pendekatan yang digunakan semakin melampau.
Dalam pada itu, situasi sama berlaku apabila seorang lagi individu mengakui ibunya turut terjebak menyertai program tersebut.
Dia menyatakan ibunya juga menyertai program berkenaan, namun setakat ini hanya melalui kelas secara dalam talian.
“Mak aku pun sama weh. Tapi setakat ini hanya kelas online sahaja. Mak aku siap bagi modul program terbabit itu kepada aku suruh baca. Cuma sekarang aku tak ‘confront’ lagi pasal ini. Aku rancang nak tanya depan-depan,” tulisnya.
Dalam pada itu, seorang pengguna Facebook juga mengakui pernah berada dalam kumpulan tersebut pada peringkat awal penubuhannya namun mengambil keputusan untuk keluar selepas merasakan kandungan dan pendekatan yang dibawa tidak selari dengan nilai agama.
“Awal-awal dulu pernah duduk dalam grup dia. Tak pernah masuk yang berbayar punya. Tapi tak berkenan sebab tengok tak selari dengan pembawakan dia dengan ayat-ayat agama dia tu. Akhirnya keluar grup itu. Tahun 2018 ke 2019 macam tu,” tulisnya.
Sementara itu, pengguna lain di Threads pula mengakui pernah mencuba produk minuman yang dikaitkan dengan program tersebut.
Dia menceritakan pengalamannya meminum produk terbabit ketika fenomena program berkenaan sedang mendapat sambutan dalam kalangan wanita.
Namun begitu, dia menegaskan tidak pernah menyertai mana-mana program motivasi itu termasuk kelas yang berharga rendah.
Mengenai produk minuman, dia mengakui hanya sempat membeli dua botol sahaja.
Namun, pengalaman meminumnya tidak memberikan kesan luar biasa seperti yang dilaporkan oleh beberapa bekas peserta baru-baru ini.
“Aku dapat beli dua botol sahaja waktu itu. Bila aku baca ada yang jadi macam ‘gila’ lepas minum, dulu aku minum tak ada pula rasa nak menari! Mungkin waktu itu cendawan dalam dos sedikit kot,” ujarnya.