‘Amy Search, kau ceritalah benda yang betul, beritahu perkara sebenar’

‘Amy Search, kau ceritalah benda yang betul, beritahu perkara sebenar’

 

‘Amy Search, kau ceritalah benda yang betul, beritahu perkara sebenar’

Tanpa berselindung, penyanyi Datuk Awie meminta Datuk Amy Search untuk tampil memberi penjelasan berhubung isu seorang penyanyi legenda yang didakwa mengherdik Shila Amzah ketika terlibat dalam sebuah acara pada Khamis.

Awie yang menerima pelbagai kecaman daripada netizen yang menuduhnya adalah individu yang melakukan serangan itu meminta Amy untuk  memberi penjelasan sebenar.

“Amy Search, kau ceritalah benda yang betul. Habis semua manusia kepoh ini tuduh aku.

“Pihak yang berkenaan tampilah ke depan. Benda ini turut mengakibatkan orang yang tiada kena mengena.

“Orang tuduh nama Awie sebab anggap saya jahat. Orang yang betul sepatutnya keluarlah. Bercakaplah,” katanya ketika dihubungi mStar.

Awie turut menulis luahan sama dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook miliknya.

Tambah Awie susulan kekecohan yang berlaku ia memberi kesan kepada dirinya sehingga ramai yang bertanya untuk mendapatkan kepastian.

Dalam masa sama dia juga tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis sekiranya ada pihak keterlaluan menyebarkan fitnah mengaitkan dirinya.

“Ramai yang tuding jari kepada saya dan bertanya. Saya juga ada perasaan dan ada keluarga.

“Banyak sangat fitnah yang berlaku. Saya tak teragak-agak membawa ke mahkamah jika ada yang melampau,” ujarnya.

Sebelum ini kecoh apabila Shila membuat laporan polis atas dakwaan berkenaan selepas merasakan dirinya tidak selamat susulan insiden yang berlaku.

Shila, Awie dan Amy sama-sama terlibat membuat persembahan dalam konsert ulang tahun ke-20 MR. D.I.Y yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada malam Jumaat.