“Doa yang baik-baik” – Digosip sudah ada tarikh kahwin, ini respon Amira Othman
Entah mana datangnya berita, timbul ura-ura konon Amira Othman dan Fattah Amin akan melangsungkan perkahwinan, akhir tahun ini.
Sejak digosip berpacaran selepas masing-masing mengikat komitmen kerja bersama, apatah lagi, terbaharu, kecoh Fattah dilihat menghadiahkan jambangan bunga kepada Amira yang dirawat di hospital, ramai mengandaikan hubungan mereka lebih daripada kawan.
Diaju pertanyaan itu kepada Amira, pelakon dan penyanyi ini menafikan sudah menetapkan tarikh perkahwinan dengan Fattah.
“Kalau tarikh ‘showcase’, Insya-Allah, saya boleh kongsi. Itu sahaja tarikh yang boleh beritahu. Namun, buat masa ini, projek ‘showcase’ (bersama Fattah) sedang dimuktamadkan.
“Kalau ada cerita yang baik-baik, pasti kami akan kongsi. Tiada yang lebih-lebih dapat saya ceritakan buat masa ini… Doakanlah yang baik-baik.” katanya pada sidang media single terbaharu berjudul Dalam Sujudku di Bukit Bintang di sini, baru-baru ini.
Bercerita mengenai projek ‘showcase’ yang dimaksudkannya, Amira berkata, dia dan Fattah Amin Management sedang merancang menganjurkan acara persembahan istimewa.
“Perkara ini masih dalam perancangan awal. Sebenarnya, saya impi menganjurkan ‘showcase’. Namun, saya tidak pernah ada keyakinan kerana takut tiada orang datang. Namun, buat masa ini, saya dapat galakan untuk anjurkan ‘showcase’.
“Saya teruja bercerita mengenainya, namun, saya belum boleh sahkan lagi. Kami rancang ‘showcase’ dianjur Ogos ini, namun, semuanya masih pada peringkat awal,” katanya.
Ditanya mengapa memilih Fattah Amin Management untuk mengendalikan ‘showcase’ itu, Amira berkata, dia ditawarkan Fattah berikutan syarikatnya mempunyai kepakaran mengendalikan acara seperti ‘showcase’.
“Fattah yang kemukakan cadangan selepas mendengar saya mahu pentaskan ‘showcase’.
“Saya setuju kerana tidak yakin menjayakannya sendirian. Jadi, saya perlukan bantuan pasukan kerja yang lain…. Harapannya biarlah ‘showcase’ ini menjadi.
Dalam perkembangan lain, Amira tampil dengan single baharu berjudul Dalam Sujudku yang menjadi runut bunyi drama Dia Bukan Syurga.
Amira menganggap single Dalam Sujudku sebagai suara batin wanita terluka, namun, tidak berputus asa dan berserah kepada takdir.
“Lagu ini menyentuh hati pendengar dengan mesej mengenai kekuatan dalaman, harapan dan keikhlasan dalam menghadapi luka cinta.
“Sudah lama saya tidak hasilklan lagu seperti itu. Jadi, apabila diundang Sony Music untuk menyanyikan, saya terima,” katanya.
Mahu terus menghasilkan lagu bermutu kepada pendengar, Amira yang sebelum ini popular dengan lagu Bila Nak Kahwin mahu orang ramai lebih mengenalinya menerusi nyanyian, berbanding lakonan atau pengacaraan.
“Keutamaan saya adalah bidang nyanyian. Berbanding lakonan dan pengacaraan, saya pilih nyanyian. Jadi, dalam perjalanan sebagai penyanyi, saya harus ada karya yang baik,” katanya.
Amira bakal terbabit dalam projek telefilem bersama Fattah. Bakal memulakan penggambaran minggu depan, telefilem itu turut menampilkan Nora Danish, Bell Ngasri dan ramai lagi.
Baru-baru ini, Amira dikejarkan ke hospital selepas muntah akibat keracunan makanan.