“Selamat jalan Proton Juara ku” – Stesen TV belum bayar RM18k, Amir Raja Lawak terpaksa jual kereta

“Selamat jalan Proton Juara ku” – Stesen TV belum bayar RM18k, Amir Raja Lawak terpaksa jual kereta

 

“Selamat jalan Proton Juara ku” – Stesen TV belum bayar RM18k, Amir Raja Lawak terpaksa jual kereta

Pelawak dan usahawan, Amir Raja Lawak meluahkan rasa sedih apabila terpaksa menjual keretanya pada Jumaat bagi mendapatkan wang segera susulan masih belum menerima bayaran daripada sebuah stesen televisyen terkenal.

Perkara itu dikongsikan Amir atau nama penuhnya Mohammad Amirullah Azmi menerusi satu hantaran di Instagram miliknya pada Jumaat, yang memaklumkan bahawa penantian terhadap bayaran yang tertangguh akhirnya memaksanya ‘mencairkan’ salah satu aset miliknya, iaitu sebuah kereta jenis Proton Juara.

“Bayaran dari stesen televisyen masih belum dapat lagi, hari ini saya jual kereta untuk tampung apa yang patut.

“Ada juga terasa sedih sebab kereta ini, walaupun sekejap bersama saya, tetapi banyak kenangan dan jasa kepada saya,” luahnya.

Amir, 36, turut berkongsi bahawa kereta itu bukan sekadar kenderaan peribadi, malah banyak menemaninya menjalankan perniagaan kecil-kecilan sebelum ini.

“Merata kami berniaga bersama kereta ini ke Johor dan Perak. Rancang nak buat cantik-cantik untuk pergi berkemah, tetapi ada benda yang lagi mustahak untuk saya buat dan terpaksa cairkan satu aset.

“Selamat jalan Proton Juara ku,” tulisnya lagi.

Sebelum ini, bekas peserta Raja Lawak Astro musim ketiga itu turut memuat naik satu lagi hantaran berasingan berkaitan isu bayaran yang masih tertunggak sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, jumlah keseluruhan tunggakan mencecah RM18,000 selepas hanya menerima sebahagian bayaran sebanyak RM5,000 tahun lalu.

“Stesen televisyen yang tidak perlu saya sebut nama (kerana semua sudah boleh mengagak), masih sangkut bayaran sebanyak RM18,000. Sudah masuk tahun ketiga, tidak silap saya, tetapi masih belum selesai,” dedahnya.

Bagaimanapun, ujar pelakon Hantu Bonceng 2.0 itu, dia pada mulanya tidak mahu membuka mulut mengenai isu tersebut, namun kali ini terpaksa berkongsi secara terbuka demi mendapatkan semula haknya.

Dia juga telah mengadakan pertemuan dengan wakil stesen televisyen berkenaan dan bersetuju menerima bayaran secara ansuran, namun tiada perkembangan selepas perjumpaan tersebut.