Ada elaun ‘driver’, Altimet dedah gaji sebagai wakil rakyat di Selangor

Ada elaun ‘driver’, Altimet dedah gaji sebagai wakil rakyat di Selangor

 

Ada elaun ‘driver’, Altimet dedah gaji sebagai wakil rakyat di Selangor

Penyanyi rap yang kini berstatus wakil rakyat, Altimet dedah terima gaji termasuk insentif dan elaun berjumlah RM16,000 sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Menerusi sesi podcast Dol’s Podcast yang dikendalikan Shuib, Shuk Sahar dan Fizie Roslan, Altimet atau nama sebenarnya Yang Berhormat Tuan Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad memaklumkan gaji yang diterimanya mencecah sebanyak RM16,000 sebulan.

“Di Selangor ya, kalau campur gaji kasar, elaun dan sebagainya boleh dapat bersih RM16,000.

“Dan tak salah sayalah, di Malaysia kalau untuk ‘top 3’ gaji di peringkat negeri, ADUN Selangor antara yang tertinggi,” kongsinya.

Selain itu, Altimet yang terkenal dengan lagu berjudul Amboi itu juga mendedahkan seseorang yang bergelar wakil rakyat itu juga mendapat kemudahan untuk membuat pinjaman.

Tambahnya, setiap wakil rakyat juga diberikan peruntukan serta elaun pemandu peribadi sebagai kemudahan ketika bekerja.

“Macam kakitangan kerajaan yang lain juga, kami ada kemudahan untuk buat pinjaman bagi membeli rumah dan kereta,” katanya.

“Sebahagian daripada elaun yang kami terima ada peruntukan untuk pemandu peribadi dan ia wajib digunakan.

“Elaun itu disediakan untuk memudahkan kerja dan jangan sampai tak ada pemandu kalau tak bos akan tanya nanti,” ujarnya.

Terdahulu, Altimet yang mewakili Pakatan Harapan (PH) berjaya menewaskan pesaing dari Perikatan Nasional (PN), Sharifah Haslizah Syed Ariffin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 tahun lalu.

Dia juga berjaya meraih sebanyak 26,172 undi menewaskan pencabarnya, Sharifah Haslizah yang memperoleh 19,852 undi, sekali gus menang dengan majoriti 6,320 undi.