Along Cham kongsi pengalaman di ‘madrasah’ Sungai Buloh
![Along Cham kongsi pengalaman di ‘madrasah’ Sungai Buloh Along Cham kongsi pengalaman di ‘madrasah’ Sungai Buloh](https://beritaperak.com/wp-content/uploads/2025/02/1-45-e1739246997282.jpg)
Along Cham kongsi pengalaman di ‘madrasah’ Sungai Buloh
Pelakon dan pelawak, Along Cham, 42, menyifatkan pengalaman berada dalam tahanan Penjara Sungai Buloh, awal bulan lalu, sebagai detik menginsafkan.
Antara detik paling diingati adalah apabila Along mendakwa didatangi individu dikatakan Timbalan Pengarah Penjara Sungai Buloh untuk memberi kata-kata semangat dalam menjalani kehidupan di sebalik tirai besi.
Along atau nama sebenar, Muhammad Nizamudin Ahmad, berkata penjara bukanlah tempat menakutkan seperti digembar-gembur segelintir pihak, sebaliknya, premis itu adalah lapangan menginsafkan jika peraturan dipatuhi dengan baik.
“Pengalaman saya ketika berada di ‘madrasah’ Sungai Buloh (Penjara Sungai Buloh), saat terbukanya tirai besi…. Macam-macam perasaan saya. Kita sebelum ini dimomokkan dengan macam-macam cerita di sebalik tirai besi.
“Tetapi tidak sangka, saya disambut dengan senyuman oleh anggota mengawal… Mereka beri semangat. Dalam penjara, banyak pengajaran dan input saya dapat.
“Sampaikan pihak atasan, iaitu Timbalan Pengarah Penjara Sungai Buloh datang berjumpa saya pada hari kedua saya di sana. Dia mahu pastikan saya tidak mengalami masalah mental dan sebagainya.
“Saya ditempatkan di blok keselamatan dinamakan Blok Tawakal, iaitu untuk kes yang mendapat liputan meluas,” katanya dalam episod pertama D’Apetu Show kendalian pelakon dan pengacara, Didie Alias yang disiarkan secara langsung di YouTube D’Apetu Show, malam tadi.
Along berkata, antara perkara paling membekas dalam hati adalah ketika dia menerima nasihat cukup bermakna daripada individu penting di penjara terbabit.
“Timbalan Pengarah itu datang untuk berjumpa saya sehingga buatkan saya rasa terperanjat.
“Perkara pertama dia buat ketika berjumpa, dia pegang bahu saya dan cakap, awak belum lagi dilabel banduan. Saya mahu selepas keluar dari sini, awak jadi lebih kuat. Awak janji dengan saya’.
“Bayangkan Timbalan Pengarah Penjara Sungai Buloh yang datang cakap pada saya begitu. Dia cakap selagi saya tidak buat salah dalam penjara, mereka tidak akan berkasar dengan saya,” katanya yang tidak dapat menahan air mata.
Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Sesyen Sepang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Along atas satu pertuduhan memiliki dadah disyaki kanabis ditemui di kediamannya di Cyberjaya, Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, Along didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan lain iaitu memiliki dan memasukkan dadah serta dibenarkan ikat jamin RM5,000.
Pada 20 Disember tahun lalu, Along didakwa memiliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 58.23 gram di sebuah rumah di Cyber 9, Cyberjaya, dekat sini pada jam 3.10 petang pada 14 Disember lalu.