“Siapa tahu, dia tahu” – Kes Along Cham, ini respon Didie Alias

“Siapa tahu, dia tahu” – Kes Along Cham, ini respon Didie Alias

 

“Siapa tahu, dia tahu” – Kes Along Cham, ini respon Didie Alias

Pengacara Didie Alias meminta orang ramai berhenti membuat spekulasi berhubung isu dadah membabitkan pelawak Along Cham.

Didie atau Fadzilah Mohd Ali, 52, berkata, perkara itu masih dalam siasatan pihak berkuasa dan berharap orang ramai tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan pelbagai tohmahan terhadap Along.

“Saya memang rapat dengan Along. Satu sahaja pesanan saya buat orang ramai… Tolong berhenti! Itu sahaja.

“Siapa tahu, dia tahu. Jangan sebar benda tak sahih. Kita jaga nama, aib dan keluarga. Jangan keruhkan keadaan,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, kata Didie, masyarakat tidak perlu membesarkan isu tersebut sebaliknya lebih afdal jika mendoakan perkara yang baik-baik buat Along.

Tambah Didie lagi, buat masa ini dia tidak boleh memberikan sebarang kenyataan kerana kes Along dikendalikan peguam dilantik keluarga pelawak berkenaan.

“Jangan dibesarkan perkara ini, doakan semoga urusan Along dipermudahkan.

“Saya tak boleh nak komen banyak sebab kes dia diuruskan oleh peguam keluarga Along.

“Kalau boleh saya tak mahu besarkan isu ini, kita doakan yang baik-baik sahaja,” jelasnya.

Pada 14 Disember lalu, Along ditahan bersama dua paket disyaki dadah jenis ganja.

Serbuan yang dilakukan sekitar pukul 3:10 petang itu mendapati hasil ujian saringan air kencing pelawak berkenaan positif dadah.

Along bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang pada 20 Disember lalu atas pertuduhan memiliki dadah jenis ganja anggaran berat 58.23 gram.

Dia bagaimanapun tidak dibenarkan ikat jamin dan sebutan kes pada 27 Januari depan.

Along didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan sebat maksimum 10 sebatan.