“Konon untuk uruskan saya & anak” – Along Cham dakwa isteri seleweng dana RM100,000

“Konon untuk uruskan saya & anak” – Along Cham dakwa isteri seleweng dana RM100,000

 

“Konon untuk uruskan saya & anak” – Along Cham dakwa isteri seleweng dana RM100,000

Pelakon dan pelawak, Along Cham mendakwa isterinya, Afreena Suhaimi menyeleweng dana dikumpulkan untuk membantunya sepanjang tempoh ditahan pihak polis.

Along turut mempersoalkan ke mana dana berjumlah hampir RM100,000 yang dikutip Afreena daripada sumbangan orang awam termasuk rakan selebriti.

Along mendakwa, anaknya, Ahmad Daniel, 14, pula diurus dan dijaga oleh pelakon dan pengacara, Didie Alias.

“Dana dikatakan untuk kegunaan saya, jujur tidak ada. Dana ini tidak sampai kepada saya. Duit digunakan untuk ikat jamin daripada ibu, keluarga dan Didie.

“Saya juga pelik, ada dalam kalangan selebriti yang beri sumbangan, tapi dana tidak sampai ke tangan saya. Dia (Afreena) cakap konon duit dana untuk pembiayaan anak saya.

“Tapi, anak diuruskan oleh Didie sepanjang saya berada di penjara. Dianggarkan lebih RM100,000 dana terkumpul,” dakwanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah, Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Pada masa sama, Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, mendakwa pelakon Aaron Aziz turut menjadi mangsa penipuan Afreena.

“Terbaharu, saya mendapat panggilan daripada abang saya, Aaron yang kini berada di Uzbekistan. Dia ada memberikan kata-kata semangat.

“Paling mengejutkan, Aaron memaklumkan isteri ada meminta wang RM20,000, tapi Aaron hanya memberikan RM5,000 kononnya untuk membayar ikat jamin saya.

“Sedangkan wang ikat jamin sudah diselesaikan oleh ibu dan Didie. Saya sudah maklumkan kepada Aaron untuk dapatkan kembali wangnya,” dakwanya.

Dalam pada itu, Along memohon maaf bagi pihak isterinya yang mempergunakan namanya untuk kepentingan sendiri.

“Bagi pihak isteri, saya memohon maaf kerana dia menggunakan nama saya. Saya pun tak faham apa motif isteri saya,” katanya.

Sementara itu, Along berkata, ibunya, Siti Habsah Kadir sudah membuat laporan polis berhubung penyelewengan dana.

Pagi tadi, Along hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya proses memfailkan pengesahan lafaz cerai taklik terhadap Afreena.