Along Cham dedah tiga bukti punca jatuh lafaz taklik

Along Cham dedah tiga bukti punca jatuh lafaz taklik

 

Along Cham dedah tiga bukti punca jatuh lafaz taklik

Pelakon dan pelawak, Along Cham hari ini memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Sepang di sini, tiga perkara yang didakwa menyebabkan punca jatuhnya lafaz taklik terhadap isteri, Afreena Suhaimi.

Along atau nama sebenar, Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, berkata Afreena didakwa melakukan tiga perkara itu hingga mengakibatkan lafaz taklik jatuh pada Julai tahun lalu, di rumahnya di Cyberjaya.

“Amarannya adalah jika awak berhubung dengan bekas isteri saya dan kongsi lokasi sekolah anak, maka jatuh talak satu. Dia (isteri) kongsikan lokasi sekolah anak saya.

“Dia (Afreena) hubungi bekas isteri. Dia cari Zila dengan alasan naluri sebagai seorang ibu. Saya sudah beri amaran banyak kali, tetapi dia tetap mencari (Zila). Sedangkan anak kandung sendiri dia tidak mengaku anak.

“Saya difahamkan mereka berhubung sejak Jun 2024. Tidak tahu apa niat dia, berkemungkinan sebagai pemberi maklumat,” katanya.

Along memaklumkan perkara itu dihadapan Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Muhamad Nazri Basrawi ketika sesi soal jawab bersama penguam syarie yang mewakilinya, iaitu Muhammad Akmal Amzan. Along dan Afreena hadir pada prosiding kedua pengesahan lafaz cerai taklik di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, hari ini.

Along mendakwa dua perkara lain yang menjadi punca gugur lafaz taklik adalah berlaku curang dan isteri membelakangkan dirinya dalam apa sahaja urusan.

“Curang itu adalah menipu saya. Saya ada bukti dia curang. Dia juga selalu buat keputusan sendiri tanpa pengetahuan saya.

“Semua perkara terbabit berlaku dan saya ada bukti. Saya tidak mahu kemukakan bukti awal sebab nanti defendan (Afreena) serang mereka (pemberi bukti),” katanya.

Along juga mengemukan bukti rakaman audio yang mendakwa Afreena sedar bahawa mereka sudahpun rujuk.

“Ya dia tahu (sudah rujuk) dan dia sudah maklum kepada sababat baik dan (orang) sekeliling dia. Saya ada bukti (rakaman audio),” katanya.

Mahkamah Syariah Rendah Sepang menetapkan lusa sebagai tarikh bagi tuntutan pengesahan lafaz cerai.

Terdahulu, Afreena mendedahkan rumah tangga bersama Along bermasalah selepas bulan berkahwin. Sebelum ini, Afreena mendakwa pernah berlaku lafaz cerai di luar Mahkamah Syariah, pada Julai tahun lalu.

Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu. Ini perkahwinan kedua Along selepas bercerai dengan bekas isteri, Zila Saeron pada September 2016.

Hasil perkongsian hidup dengan Zila, Along dikurniakan anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah jagaannya.