Lapan maut selepas minum alkohol tulen di Indonesia

Lapan maut selepas minum alkohol tulen di Indonesia

 

Lapan maut selepas minum alkohol tulen di Indonesia

Lapan orang maut manakala empat lagi kritikal selepas meminum alkohol tulen dengan kepekatan 96 peratus di Cianjur, Jawa Barat, menurut pihak berkuasa tempatan pada Ahad.

Ketua Polis Mande, Asisten Komisioner Dadeng berkata mangsa yang terselamat dari Kampung Kademangan kini menerima rawatan rapi di hospital berhampiran.

Siasatan awal mendapati kesemua mangsa menelan alkohol bukan gred makanan, yang lazimnya digunakan untuk kegunaan luaran seperti pembasmi kuman.

Menurut laporan portal berita tempatan “Kompas”, pihak berkuasa belum dapat menyoal siasat mangsa yang terselamat kerana dilaporkan masih dalam keadaan kritikal.

Insiden berlaku ketika kumpulan terbabit memutuskan untuk mencuba minuman alkohol tulen minggu lalu dengan membuat pesanan dalam talian.

Alkohol itu kemudiannya dicampur dengan minuman berperisa, namun sejurus selepas meminumnya, mereka mengalami sakit dada, pening, dan loya.

Mangsa kemudian pulang ke rumah masing-masing, tetapi keadaan bertambah buruk hingga menyebabkan seorang daripada mereka meninggal dunia pada petang Jumaat.

Angka kematian meningkat kepada lapan orang menjelang Sabtu.