Aliff Syukri dedah ‘sisi gelap’ TikTok yang ramai tak tahu

Aliff Syukri dedah ‘sisi gelap’ TikTok yang ramai tak tahu
Di sebalik senyuman, gaya mewah dan jumlah jualan jutaan ringgit yang dipamerkan di media sosial, usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri mendedahkan realiti getir yang tersembunyi di belakang tabir kehidupannya sebagai peniaga aktif di TikTok.
Menurutnya, tekanan luar biasa daripada pihak platform, termasuk panggilan awal pagi dan desakan untuk membuat siaran langsung, telah menjejaskan kesihatan dan waktu rehatnya hingga kadang kala, dia hanya tidur dua jam sehari.
Menerusi satu video yang dimuat naik ke akaun TikTok miliknya, Aliff berkongsi bagaimana pihak platform tersebut kerap menghubungi dan mendesaknya untuk membuat siaran langsung demi mencapai sasaran jualan harian yang ditetapkan.
Menurut Aliff, dia bukannya sengaja mahu kelihatan rajin atau terlalu aktif berniaga di TikTok. Sebaliknya, dia mendedahkan pihak TikTok sering menghubunginya seawal pagi ketika sedang tidur dan meminta agar segera ‘live’ kerana mereka mensasarkan jualan harian mencecah RM1 juta. Keadaan itu menyebabkan dia berasa tertekan dan sekali gus telah mengganggu waktu rehatnya.
@dherbs.official ALIFF SYUKRI Kongsi SESI GELAP TikTok yang Ramai taktahu! sampai mengigau dalam tidur! #tiktok #tiktokviral #terlajaklaris #fyp #gelap #foruyou #viral #trending #share #tipsandtricks
Aliff juga berkongsi pengalaman selepas pulang dari Hong Kong, ketika dia tidak sihat dan memberitahu pihak TikTok bahawa dia tak dapat buat siaran langsung pada hari tersebut.
Namun, reaksi yang diterima amat mengejutkan. Pihak TikTok tetap mendesaknya untuk terus membuat ‘live’ dan memberi peringatan bahawa sekiranya dia gagal berbuat demikian, namanya akan disingkirkan daripada kempen yang sedang berlangsung. Malah, dia turut diberi sasaran jualan sebanyak USD100,000 dalam tempoh sehari.
Aliff mengakui dirinya berada dalam tekanan untuk memenuhi sasaran tersebut kerana bukan mudah untuk menjual barangan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit dalam tempoh beberapa hari sahaja.
Dia turut menunjukkan jumlah jualan yang berjaya diraih di TikTok selama seminggu, iaitu sebanyak RM1.5 juta. Namun begitu, hampir RM200,000 daripada jumlah tersebut telah dipotong sebagai komisen oleh pihak TikTok.
Dalam nada kecewa, Aliff mengakui dia sebenarnya tidak mahu terlalu kerap melakukan siaran langsung. Disebabkan tekanan yang berpanjangan, dia hanya berkesempatan untuk tidur sekitar jam sahaja setiap hari.
Malah, ketika sedang baring untuk tidur sekalipun, fikirannya masih dihantui suara menyuruh pelanggan “checkout cepat”. Aliff turut meluahkan kekesalan kerana perlu melayan sesi ‘live’ bersama jutawan dari Indonesia, sedangkan permintaan pelanggan dari Malaysia sendiri sudah tidak menang tangan.
Walaupun mengakui TikTok banyak membantu melonjakkan perniagaannya, Aliff tetap menegaskan tekanan sebagai peniaga di platform tersebut sangat berat.
Aliff menyifatkan semua ini sebagai ‘sisi gelap’ TikTok yang tidak ramai tahu. Ramai yang menyangka dia terlalu rajin berniaga, namun hakikatnya dia tidak mempunyai banyak pilihan akibat tekanan dan desakan daripada pihak platform itu sendiri.