Alif Teega mengaku tidak bersalah dua pertuduhan seleweng dana infaq lebih RM63,000

Alif Teega mengaku tidak bersalah dua pertuduhan seleweng dana infaq lebih RM63,000

 

Pempengaruh Alif Teega mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM63,605.48.

Kes tersebut melibatkan program infaq iftar dan korban pada April serta Jun lalu.

Alif Teega atau nama sebenarnya, Mohd Hazalif Mohd Hazani, yang sebelum ini mencetuskan kontroversi rumah tangga, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan.

“Saya mohon dibicarakan,” kata Alif Teega di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki tersebut didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang RM36,047.35 bagi tujuan infaq iftar di Mekah, Syria dan Palestin, di CIMB Bank, KL Gateway, di sini, pada 26 April lalu.

Sementara pertuduhan kedua, dia dituduh menyalahgunakan wang RM27,558.13 bagi program ‘Jom! sertai infaq daging Qurban’ di bank sama, 15 Jun lalu.

Jika sabit kesalahan, bagi setiap pertuduhan, dia boleh dihukum bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebatan serta denda.

Pada 11 Julai lalu, Alif Teega, 30, dan isterinya, Aisyah Hijanah Azhari, 26, ditahan reman empat hari, bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah.

Kes itu tular di media sosial kerana pempengaruh tersebut didakwa mengambil komisen tinggi daripada kutipan derma.

Pasangan itu turut menjadi perhatian warga siber kerana sentiasa memaparkan kehidupan mewah.

Bagaimanapun, mereka tampil menafikan semua tuduhan penyelewengan dan pecah amanah.