Albertine Leo sudah kembali ke pangkuan ibu bapa, keluarga kongsi foto pertama

Albertine Leo sudah kembali ke pangkuan ibu bapa, keluarga kongsi foto pertama

 

Kanak-kanak perempuan, Albertine Leo yang ditemui selamat semalam selepas dilaporkan hilang selama tiga hari akhirnya bertemu semula dengan keluarganya.

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh seorang wanita yang mempunyai pertalian saudara dengan Albertine di laman Facebook, dia berkongsi beberapa foto pertama bersama kanak-kanak tersebut dan ahli keluarga lain.

Wanita itu menzahirkan ucapan terima kasih keprihatinan rakyat Malaysia dan memberitahu Albertine kini memerlukan masa untuk berehat menenangkan diri selepas apa yang berlaku.

“Kami akan membawanya pulang untuk dan beri ruang kepadanya untuk berehat.

“Keluarganya juga mahu saya menyampaikan mesej kepada orang ramai untuk mengucapkan terima kasih atas semua kasih sayang dan keprihatinan mereka, serta membantu dalam berkongsi siaran yang menyebabkan dia ditemui,” kata wanita itu.

Foto yang dikongsi di Facebook Barbie Hui Hui, memaparkan Albertine sudah kembali ke pangkuan keluarganya di Johor.

Terdahulu, Albertine dilaporkan hilang pada 20 Julai semasa festival Bon Odori Johor 2024 di Iskandar Puteri, Johor.

Bagaimanapun, dia ditemui selamat di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor awal pagi semalam. Kanak-kanak tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada perubahan fizikal seperti dakwaan rambutnya sudah dipotong.

Polis telah menahan tiga individu berhubung kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah serta Sekayen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana sentuhan fizikal ke atas kanak-kanak.