Akuan Bersumpah bukti maklumat disalah guna tubuh cawangan secara salah
Kes pemalsuan maklumat dalam penubuhan beberapa cawangan Parti Amanah Negara (AMANAH) kawasan Teluk Intan antara punca kekecohan yang berlaku melibatkan sayap wanita parti itu dan jawatankuasa yang terlibat dalam menyelaraskan proses siasatan.
Rentetan itu, beberapa Akuan Bersumpah diberikan oleh sumber bagi mengukuhkan dakwaan penyalahgunaan maklumat dan pemalsuan dokumen beberapa individu bagi tujuan penubuhan cawangan di kawasan terbabit.
Sumber mendakwa, ini adalah sebab mengapa mereka tidak menggunakan saluran yang betul untuk mendaftarkan cawangan malah cuba menggunakan beberapa pihak di peringkat nasional untuk meluluskannya.
“Kesemua bukti adalah jelas dan wujud penipuan dan pemalsuan dokumen. Kerana sudah tak dapat elak dari kebenaran terdedah, mereka cipta isu lain untuk tutup kesalahan”, jelas sumber.
“Kami tidak menjangka bahawa keterdesakan mereka untuk merosakkan nama baik kepimpinan parti sedia ada di luar kewarasan sehingga sanggup menipu untuk kepentingan peribadi”, tambahnya lagi.
Ditanya siapa individu yang dimaksudkan yang menjadi pendorong tindakan ini dibuat, sumber berkata individu tersebut pernah melakukan kesalahan menipu orang ramai dalam projek perumahan di sini dan rapat dengan pimpinan pusat parti.
“Orang itu sebenarnya seorang yang bermasalah tetapi sering menjaja dirinya rapat dengan pimpinan parti di pusat dan kita juga ada maklumat dia mempunyai hubungan baik dengan beberapa pimpinan Pas di negeri ini”katanya.
“Tetapi lambat laun orang akan tahu perangai sebenar mereka dan kini mereka mendedahkan sendiri sikap mereka secara terbuka” ujarnya.
Isu kekecohan antara anggota AWAN Teluk Intan, Zulaiha Mohd Azam (gambar) dan seorang staf pejabat Amanah Negeri Perak semasa prosiding siasatan terhadap pemalsuan maklumat dalam penubuhan cawangan menjadi perhatian sehingga memaksa campur tangan pihak berkuasa.