Akibat tak kunci pintu kereta, beg tangan dilarikan pencuri

Akibat tak kunci pintu kereta, beg tangan dilarikan pencuri

Seorang wanita tergamam apabila beg tangan miliknya dilarikan pencuri ketika sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak dekat Sungai Raia, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu disedari mangsa berusia 46 tahun setelah melihat kelibat lelaki di bahagian pemandu kereta jenis Perodua Axia.

Katanya, lelaki terbabit yang sedar kehadirannya diketahui telah bertindak keluar dari kereta sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.

“Ketika mangsa sedang mengisi minyak, dia ternampak bayang-bayang di dalam kereta dan terkejut apabila melihat seorang lelaki tidak dikenali berada di bahagian pemandu.

“Mangsa cuba mengejar suspek namun tidak berjaya sebelum dia menyedari beg tangan dan telefon bimbit miliknya yang diletakkan di kerusi penumpang hadapan telah hilang,” katanya di sini hari ini.

Menurut Hasron Nazri, semasa kejadian, mangsa tidak mengunci pintu kereta dan kejadian itu juga tidak dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kerana mengalami kerosakan server.

Katanya, suspek yang memakai pelitup muka dan topi keledar itu disyaki masuk ke dalam kereta mangsa dengan cara membuka pintu hadapan sebelah pemandu yang tidak berkunci.

“Berdasarkan siasatan, sepasukan anggota dari Balai Polis Gopeng telah membuat tangkapan ke atas empat individu termasuk seorang wanita di sebuah inap desa di Kampung Sungai Itek pada pukul 12.30 tengah hari, semalam.

“Kesemua mereka yang berusia 18 hingga 29 tahun itu diberkas bersama barang yang dicuri yang telah dicam oleh mangsa,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan semakan, tiga lelaki itu mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

“Kesemua mereka direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber: Utusan