Peniaga terkilan pelanggan merungut harga aiskrim Malaysia RM1 sebatang mahal

Peniaga terkilan pelanggan merungut harga aiskrim Malaysia RM1 sebatang mahal
Menjalankan perniagaan kecil-kecilan bukanlah satu perkara mudah, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
Bagi seorang individu yang berniaga aiskrim secara kecil-kecilan, cabaran bukan sahaja datang daripada kos bahan mentah yang semakin meningkat, tetapi juga sikap segelintir pelanggan kerana mempertikaikan harga jualannya.
Menurut individu tersebut, dia menjual aiskrim ‘Malaysia’ dengan harga cukup murah jika dibandingkan dengan peniaga lain, namun masih ada pelanggan yang tidak berpuas hati.
“Aku jual seringgit pun ada yang minta murah lagi. Mereka mungkin nak aku jual harga sen kot gamaknya.
“Ini aiskrim perisa asam masin pun orang jual pada hargaRM2.90,” katanyasambil memuat naik sekeping gambar aiskim yang dijual peniaga lain.
Jelas wanita itu, sebagai pembuat aiskrim yang sama dia akuiharga berkenaan wajardianggap mahal.
“Aku buat aiskrim guna susu tepung, serbuk krimer, serbuk buah dan lain-lain.
“Kos lagi tinggi nak dibandingkan dengan perisa asam masin yang hanya bermodalkan air kosong, gula, asam dan kordial,” katanya lagi menerusi hantaran di media sosial.
Kecewa apabila wujud sesetengah orang menganggap aiskrim ‘Malaysia’ mudah untuk dihasilkan, individu berkenaan dalam masa sama berkongsi proses pembuatan produk tersebut yang realitinya rumit.
“Belum sembang saya dengan suami punya penat lagi. Pagi buta dah masak aiskrim, tunggu sejuk, pintal, tampal stiker, susun satu persatu, tunggu sejuk, lepas beku, susun lagi.
“Penat dan sakit pinggang. Kadang tu jari boleh melecet dan kematu. Kalau rasa saya jual mahal, ingatlah ada orang lain yang jual lebih mahal daripada saya.
“Dengan nilai seringgit sekarang, pergi pasar raya boleh dapat sebatang lolipop je tau,” luahnya lagi.
Justeru ujarnya, adalah tidak adil untuk pelanggan mempertikaikan harga jualan seseorang peniaga semata-mata kerana mahu harga yang murah.
“Nak makan sedap jangan berkira tau… sekarang dah tahun 2025, bukan macam tahun 1990. Masuk jamban nak kencing berak pun kena duit 50 sen dan seringgit. Sekian luahan daripada seorang pemintal aiskrim,” tulisnya lagi.
Di ruangan komen, rata-rata warga maya menyarankan supaya individu tersebut tidak melayan pelanggan yang suka meminta harga murah secara tidak munasabah.
Malah, ramai yang tampil memberi kata-kata semangat dan menyokong usahanya dalam mencari rezeki halal walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Sumber; mStar