Dikatakan tiada ‘killer song’, Aina Abdul sedih dengan dakwaan Man Bai

Dikatakan tiada ‘killer song’, Aina Abdul sedih dengan dakwaan Man Bai

 

Dikatakan tiada ‘killer song’, Aina Abdul sedih dengan dakwaan Man Bai

Penyanyi popular Aina Abdul, 31, sedih dengan dakwaan penyanyi senior, Man Bai yang mengatakan Aina tidak mempunyai ‘killer song’ atau lagu malar segar untuk diingati peminat.

Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani berkata, sepanjang terbabit dalam bidang nyanyian, dia memang bekerja keras untuk menjadikan lagu-lagunya seperti Sumpah, Semalam, Sepi dan Terus Hidup sebagai ‘killer song’.

“Sudah tentu saya sedih dengan dakwaan abang Man Bai itu, tetapi saya tidak tahu konteks temubual itu (temubual Man Bai bersama pihak media) sebelum ini.

“Jadi, saya enggan jadikan isu ini membuatkan saya berasa janggal bila bertemu dengannya nanti,” katanya menurut Harian Metro.

Bagaimanapun, kata Aina, dia menghormati pandangan penyanyi senior seperti Man Bai itu.

“Saya masih baru dalam industri muzik ini dan saya tidaklah sematang abang Man Bai. Saya hormat dengan pendapatnya dan menerima semuanya.

“Mungkin saya masih memerlukan masa yang panjang untuk ada ‘killer song’ seperti dakwaannya itu.

“Saya juga akan terus bekerja keras untuk menghasilkan ‘killer song’ itu dan memastikan lagu-lagu nyanyian sentiasa malar segar dan terus menjadi siulan peminat,” katanya.

Ditanya sama ada seseorang artis perlu mempunyai ‘killer song’ untuk bertahan dalam industri muzik, Aina turut mengakui perkara itu.

“Penyanyi perlu ada ‘killer song’ tetapi mungkin belum tiba masa saya untuk memiliki lagu ‘berhantu’ seperti yang dimaksudkan abang Man Bai itu.

“Terima kasih abang (Man Bai). Jangan berasa janggal dengan saya sebab latihan nyanyian yang seterusnya mungkin saya masih akan lakukan di studio milik abang,” katanya.

Bagaimanapun, kata Aina, dia menganggap kenyataan yang dikeluarkan oleh penyanyi itu sebagai satu semangat untuk menghasilkan lebih banyak karya malar segar selepas ini.

“Kami sering bekerjasama, setiap kali saya buat latihan nyanyian, saya akan ke studio miliknya,” katanya.

Terdahulu, Man Bai berkata, walaupun Aina memiliki bakat nyanyian luar biasa tetapi penyanyi berkenaan belum cukup membuatkan dirinya diingati.

Katanya, Aina perlu mempunyai ‘killer song’ yang boleh bertahan dalam jangka masa panjang.