“Orang lain pinjam, jiran jadi mangsa” – Ah long bakar 3 rumah, 9 kenderaan

“Orang lain pinjam, jiran jadi mangsa” – Ah long bakar 3 rumah, 9 kenderaan
Bukan lagi simbah cat merah di rumah atau kenderaan sebagai amaran kepada peminjam, ah long kini bertindak lebih melampau dengan membakar kediaman, seperti mana kes terbaharu yang berlaku di Pulau Pinang.
Apa yang lebih mengejutkan, rumah yang dibakar bukanlah kediaman peminjam sebaliknya milik tiga keluarga lain yang tidak mempunyai kaitan dengan kes.
Salah seorang mangsa kebakaran, Mohamad Asrul yang berkongsi kronologi insiden yang menimpanya dan dua keluarga lain berkata, pada 16 Jun lalu ah long bertindak menyimbah minyak petrol di rumahnya dan jiran yang terletak di sebuah taman perumahan di Tasek Gelugor.

Lima kereta dan empat motosikal antara yang musnah dalam kebakaran membabitkan tiga kediaman pada awal pagi Selasa lalu.
“Pada 16 Jun 2025, ada kesan simbahan petrol dan cat di rumah nombor 3 (rumah jiran) dan nombor 5 iaitu rumah kami.
“Di rumah nombor 3 ada ditinggalkan nota di pintu pagar beserta botol lebihan simbahan petrol.
“Selesai buat report kami diminta ke IPD Kepala Batas untuk berjumpa dengan IO (pegawai penyiasat) dan hasil laporan dengan IO, didapati ini kes ah long salah simbah rumah,” kongsinya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurutnya, berdasarkan nota yang ditinggalkan, amaran ditujukan kepada peminjam yang menghuni kediaman bernombor 42.
“Surat tersebut ada menyebut nama dan kad pengenalan si peminjam beserta mesej ugutan untuk bakar rumah.
“Selepas selesai urusan di balai polis mereka suruh kami balik rumah dan tunggu mereka datang untuk ambil gambar dan bahan bukti.
“Tunggu punya tunggu tak ada pihak polis datang ambil bukti,” dakwanya.
Sehinggalah pada awal pagi Selasa (24 Jun), dia terjaga dari tidur selepas mendengar hon kenderaan dan bunyi bising dari luar rumah.
“Bergegas keluar selamatkan diri selepas jiran-jiran bunyikan hon dan goyang pagar rumah untuk kejutkan kami dari tidur.
“Sempat keluar dari pintu rumah dan panjat pagar sebelah kiri sebab api dari rumah jiran sebelah kanan dah merebak besar dan banyak letupan berlaku.
“Hasil siasatan awal, satu bahan letupan dilemparkan ke dalam rumah jiran kami nombor 3, menyebabkan letupan besar dan api marak dengan laju.
“Tiga buah rumah, lima buah kereta dan empat buah motosikal terbakar kesan dari kebakaran ini. Orang lain pinjam ah long, tapi kami yang tak terlibat jadi mangsa kebakaran,” luahnya.

Video yang sempat dirakam ketika tiga buah rumah dijilat api.
Biarpun rumah dan kereta musnah dalam kebakaran, Mohamad Asrul bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dan dia menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa serta mereka yang banyak menghulurkan bantuan.
Sehingga kini posting tersebut meraih lebih 1,100 perkongsian di Facebook selain ruangan komen dibanjiri dengan ucapan netizen yan menzahirkan simpati dan doa buat mangsa.
Ramai juga meluahkan rasa geram dan kecewa apabila individu yang tidak bersalah menjadi mangsa, di samping menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sindiket pinjaman haram yang semakin berani dan melampaui batas.