Agensi pengangkutan & pelancongan Singapura akui terjejas selepas harga diesel di Malaysia naik

Agensi pengangkutan & pelancongan Singapura akui terjejas selepas harga diesel di Malaysia naik

 

Penumpang bas dan pelanggan agensi pelancongan yang merentasi sempadan Malaysia-Singapura dijangka akan menghadapi kenaikan harga tiket tidak lama lagi berikutan kenaikan harga diesel di Malaysia.

Kerajaan Malaysia baru-baru ini telah mengurangkan subsidi diesel yang dikatakan menelan belanja negara sebanyak RM4 bilion (US$853 juta) setahun. Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa penjimatan tersebut akan dialihkan kepada golongan berpendapatan rendah.

Syarikat Singapore Cab Booking yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan di antara dua negara, menyatakan bahawa perkhidmatan bas mereka akan terjejas ekoran kenaikan harga diesel.

“Kami mempunyai perkhidmatan pengangkutan darat Singapura-KL. Dengan kenaikan harga diesel sebanyak 50 peratus, harganya hampir sama dengan harga diesel di Singapura,” kata CEO Farid Khan, sambil menambah bahawa syarikatnya juga perlu membayar tol.

Beliau mempunyai 12 bas berkapasiti 45 penumpang dan beberapa bas kecil lain yang juga menggunakan diesel. Malah, syarikatnya juga bekerjasama dengan beberapa vendor di Malaysia yang telah meminta untuk menaikkan harga.

“Dengan kenaikan harga diesel ini, bila kami nak menaikkan harga, itu yang menjadi masalah. Pelanggan akan bising dab tidak gembira dengan kenaikan harga,” kata Khan.

Difahamkan, ramai pelanggan terutamanya bagi pelanggan yang melancong dalam kumpulan besar, telah menempah perkhidmatan mereka dengan kadar harga lama. Khan menjangkakan pihaknya akan mengalami kerugian dan mengurangkan margin keuntungannya sebanyak kira-kira 20 hingga 30 peratus.

Khan kini sedang berunding dengan pihak vendor mengenai harga tawaran yang lebih tinggi. Beliau bercadang untuk menaikkan harganya sekurang-kurangnya 20 peratus dalam beberapa bulan akan datang untuk pakej atau perjanjian baru.

Sebagai contoh, pada waktu ini syarikatnya mengenakan bayaran S$550 untuk perjalanan sekali jalan dengan bas ke Legoland di Malaysia. Namun dengan harga diesel yang lebih tinggi dan sistem permit masuk kenderaan yang baru dilaksanakan, beliau merancang untuk menaikkannya menjadi kira-kira S$650.

Sementara itu, EU Holidays menyatakan bahawa pakej pelancongan mereka ke Malaysia, yang membentuk kira-kira 10 peratus daripada perniagaan mereka, kemungkinan akan meningkat harganya.

Pengarah Ong Han Jie berkata, pihaknya belum memutuskan berapa banyak kenaikan harga yang akan dilakukan. Operator yang bekerjasama dengan EU Holidays di Malaysia juga belum mengesahkan berapa banyak kenaikan harga mereka.

“Kenaikan harga diesel menyebabkan peningkatan kos pengendalian bas sebanyak 40 peratus, katanya.

“Bagi kami, terdapat peningkatan kos, tetapi kerana ringgit telah susut nilai berbanding dengan dolar Singapura, dalam konteks Singapura, secara peribadi saya tidak merasakan ia masalah yang sangat besar,” ujarnya.