“Agenda ini didorong hasad dengki & dendam” – Afdlin Shauki nafi ‘songlap’ projek DBKL bernilai RM10 juta
“Agenda ini didorong hasad dengki & dendam” – Afdlin Shauki nafi ‘songlap’ projek DBKL bernilai RM10 juta
Pengarah dan pelakon terkenal, Datuk Afdlin Shauki, 54, menafikan dakwaan terlibat dalam salah laku perolehan projek naungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti yang tular dalam media sosial.
Afdlin menerusi satu kenyataan yang dikongsikan dalam Instagram berkata, fitnah itu merupakan tindakan pihak tidak bertanggungjawab untuk memburukkan namanya.
“Pertama sekali saya menafikan sekeras- kerasnya bahawa telah terdapat apa-apa unsur salah laku dalam perolehan projek tersebut.
“Ini merupakan sebuah usaha oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama saya. Agenda pihak ini hanya didorong oleh perasaan hasad dengki dan dendam yang tidak bertempat.
“Saya telah membuat laporan polis bersama pihak PDRM untuk membolehkan siasatan dijalankan berkenaan perkara ini. Saya difahamkan perkara ini juga sedang disiasat secara dalaman oleh DBKL,” tulisnya.
Tambah pelakon filem Buli itu lagi, dia bersedia untuk memberikan kerjasama penuh dalam mana-mana siasatan yang dijalankan berhubung perkara ini oleh mana-mana agensi penguatkuasaan.
“Saya menyeru saudara saudari sekalian untuk memberi ruang kepada pihak-pihak yang berwajib untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Fitnah dan tohmahan berniat jahat ini tidak seharusnya dibiarkan berleluasa. Saya yakin dan pasti dengan izin Allah, akhirnya kebenaran akan tersuluh dan keadilan akan ditegakkan,” tulisnya.
Terdahulu, tular dalam aplikasi Telegram Edisi Siasat yang mendakwa Afdlin yang merupakan Ahli Lembaga Penasihat DBKL merupakan antara yang terlibat dengan salah laku dalam perolehan projek penerbitan bahan kreatif oleh DBKL yang dikatakan bernilai lebih RM10 juta.
Pendedahan yang telah mendapat perhatian ramai itu menimbulkan persoalan besar mengenai ketelusan dan akauntabiliti dalam takbir urus DBKL.
Sehubungan itu, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan bebas secara menyeluruh.