Dakwa kakak ipar putar belit cerita, adik Along Cham pula bersuara
Dakwa kakak ipar putar belit cerita, adik Along Cham pula bersuara
Kemelut melibatkan pelawak Along Cham semakin hangat apabila ada dalam kalangan ahli keluarga mula bersuara mendakwa isterinya iaitu Afreena Suhaimi banyak mengeluarkan kenyataan tidak benar.
Menurut salah seorang adik Along yang dikenali sebagai Lyana, 34, salah satu perkara utama menjadi perhatian keluarga mereka adalah isu berkaitan dana sumbangan yang dikatakan bertujuan untuk membayar ikat jamin abangnya itu selepas ditahan polis pada 14 Disember lalu.
Lyana bagaimanapun mendakwa apa yang dikongsi oleh Afreena di media sosial adalah satu penipuan yang telah dirancang.
“Dia kumpul dana untuk ikat jamin abang saya. Namun tidak pernah pun lantik peguam untuk kes ini sehinggalah keluarga sendiri yang ambil tindakan.
“Apa yang dia kata di sosial media semuanya putar belit. Kami ada bukti atas segala tindakan dia dan tidak akan bercakap membuta tuli,” katanya ketika dihubungi mStar pada Rabu.
Dalam pada itu, Lyana juga memberitahu satu laporan polis telah dibuat pada 10 Januari lalu berhubung penipuan Afreena dan menyerahkan semua siasatan kepada pihak berkuasa.
Malah, dia berkata pihak keluarga juga akan lebih lantang bersuara demi mempertahankan abangnya itu selepas banyak cerita yang tidak benar tular di media sosial.
“Selama ini kami berdiam sahaja. Dia yang banyak berkongsi di sosial media kononnya terlalu sayangkan Along, tetapi apa yang dia buat untuk bantu suami sendiri?
“Sebagai keluarga kami kena campur tangan apabila perkara ini telah menjadi satu isu besar dan melibatkan banyak pihak.
“Pada hari Along di bebaskan, dia diberi peluang untuk ikat jamin. Namun banyak alasan ketika membuat pembayaran,” ujarnya.
Bercakap mengenai kakak iparnya itu, Lyana memberitahu hubungan keluarganya dan Afreena tidak begitu baik.
Namun sebagai adik, dia akan tetap sentiasa memberi sokongan terhadap Along, lebih-lebih lagi ketika berdepan waktu sukar ini.
“Bagaimana kami nak bersemuka dengan dia sebab semuanya sudah kena block. Kami tahu dia kumpul dana pun apabila diberitahu oleh rakan-rakan lain. Apa yang saya boleh katakan dia bagai tidak wujud dalam keluarga kami.
“Sekarang ini keluarga sentiasa memberi sokongan terhadap Along. Walau apa yang berlaku sekali pun kami tetap ahli keluarga,” luahnya.
Pada Isnin lalu Along atau Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, dilepas tanpa dibebaskan atas satu kes dadah melibatkan dirinya.
Sehari kemudian pelawak itu membuat kejutan apabila tampil di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya untuk proses cerai taklik terhadap Afreena.
Along ketika itu memberitahu tindakan tersebut dibuat kerana isterinya telah melanggar beberapa perjanjian yang dibuat dalam akad mereka.
Malah Along juga mendedahkan isterinya itu melakukan penipuan dengan mengumpul dana bagi melantik peguam dan ramai rakan-rakan artis juga menjadi mangsa.