Mulai 1 Julai, semua cawangan 99 Speed Mart akan dibuka jam 9 pagi

Mulai 1 Julai, semua cawangan 99 Speed Mart akan dibuka jam 9 pagi

 

Mulai 1 Julai, semua cawangan 99 Speed Mart akan dibuka jam 9 pagi

99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings), rangkaian pasar mini terbesar di Malaysia, akan melanjutkan waktu operasi perniagaan di seluruh negara, dengan premis akan dibuka pada jam 9 pagi berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.

Langkah yang diluluskan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu hari ini adalah selaras dengan komitmennya untuk meningkatkan kemudahan pelanggan dan diseragamkan dengan corak pembelian pengguna.

99 Holdings hari ini mengumumkan bahawa semua resolusi yang dibentangkan pada AGM kedua telah diluluskan oleh pemegang saham.

Dalam AGM itu, penyata kewangan yang diaudit untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024, bersama-sama dengan Laporan Pengarah dan Juruaudit telah dibentangkan dan diterima dengan sewajarnya oleh pemegang saham.

Semua pengarah sedia ada yang bertanding untuk pemilihan semula telah dilantik semula, dan Messrs. Crowe Malaysia PLT dilantik semula sebagai juruaudit luar syarikat untuk tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2025.

Semua resolusi lain yang disenaraikan dalam Notis AGM bertarikh 25 April 2025 juga telah diluluskan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata kelulusan semua resolusi merupakan pengesahan bermakna terhadap strategi dan visi jangka panjang syarikat.

“Kami amat berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan berterusan daripada pemegang saham, terutamanya kerana ini merupakan AGM pertama kami sejak kejayaan penyenaraian pada 2024.

“Kelulusan semua resolusi merupakan pengesahan bermakna terhadap strategi dan visi jangka panjang kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, kekal setia pada komitmen syarikat untuk memberikan kemudahan dan nilai kepada pelanggan, 99 Holdings menyelaraskan waktu operasi semua premis di seluruh negara mulai 1 Julai 2025 yang bermula pada jam 9 pagi.

“Inisiatif ini mencerminkan dedikasi kami untuk meningkatkan pengalaman pelanggan sambil mengukuhkan kedudukan kepimpinan dalam bidang pasar mini runcit.

“Melangkah ke hadapan, kami akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan kehadiran di seluruh negara, memperkasakan rangkaian pengedaran, dan memacu penciptaan nilai mampan untuk semua pihak berkepentingan,” katanya.