Jangan buat 5 pantang larang ini kalau melancong ke Jepun, ada yang dianggap ‘menghina’

Jangan buat 5 pantang larang ini kalau melancong ke Jepun, ada yang dianggap ‘menghina’

 

Jepun merupakan destinasi percutian yang popular di dunia kerana iklim dan topografinya yang unik menyajikan pelbagai tempat menarik beserta panorama indah.

Tambahan pula masyarakat di negara matahari terbit ini kaya dengan budaya dan tradisi tersendiri di samping sajian yang istimewa.

Meskipun peradaban dan tatasusila penduduknya hampir sama dengan masyarakat Melayu, namun ada beberapa perkara yang ditegah serta dianggap biadab jika dilakukan.

Bagi anda yang pertama kali ingin menjejakkan kaki di Jepun, pastikan lima perkara yang dikongsikan Kamal Zharif ini dipatuhi, ya.

Pesanan yang diberikan adalah berdasarkan pengalamannya bermastautin di negara Sakura itu selama 10 tahun.

1. Dilarang memberi tip

Pemberian tip sering dilakukan di negara Barat dan mula dinormalisasikan di Malaysia kerana tindakan itu seiring dengan amalan bersedekah.

Bagaimanapun, perbuatan ini bercanggah dengan penduduk Jepun dan ia dianggap sebagai satu penghinaan disebabkan masyarakat mereka sangat berintegriti.

Bagi mereka, segala khidmat yang diberikan telah dicaj dalam bil yang tertera.

Oleh itu, tidak perlulah anda membayar lebih atau sebut ‘keep the change’, bahkan baki 5 sen pun mereka akan pulangkan.

2. Kasut tidak dibenarkan dipakai di dalam bangunan

Apa sahaja jenis bangunan seperti rumah, tempat suci mahupun sekolah, penghuninya akan menyediakan selipar ganti.

Jadi, sebelum masuk ke dalam bangunan silalah buka kasut dan gantikan dengan selipar yang telah disediakan.

Tetapi jangan pakai selipar apabila masuk ke dalam bilik yang ada tikar tatami, ya.

3. Jangan bermain-main dengan chopstick

Masyarakat Jepun mempunyai banyak pantang larang dalam penggunaan chopstik dan setiap perbuatan akan menggambarkan maksud-maksud tertentu.

Misalnya, chopstick yang dirapatkan dan dipacak secara menegak pada mangkuk nasi menggambarkan ritual kematian.

Selain itu, anda juga dilarang untuk mengambil makanan orang lain menggunakan chopstick sendiri atau memanggil orang dengan melambainya menggunakan chopstick.

4. Jangan makan sembarangan di tempat awam

Sebagaimana di Malaysia, anda juga dilarang untuk makan di dalam kenderaan awam.

Selain akan mengganggu penumpang lain, kebarangkalian makanan atau minuman anda tertumpah dan mengotori ruang awam adalah tinggi.

Malah Islam juga menegah penganutnya untuk makan sambil berjalan sebaliknya perlu duduk dan beradab ketika menghadap makanan.

5. Dilarang potong barisan

Dalam apa juga keadaan sekalipun, orang Jepun sentiasa beratur.

Malah ketika tsunami melanda, mereka masih beratur untuk mendapatkan bantuan kecemasan daripada agensi terlibat.