Tiga lokasi di Malaysia berisiko hilang sehingga 50,000 pekerjaan akibat tarif Trump
Pelaksanaan tarif yang mengejut oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump boleh menyebabkan kehilangan sehingga 50,000 pekerjaan secara langsung dan tidak langsung, dengan kesan utama adalah kepada Pulau Pinang, Johor, dan Lembah Klang, selain menyebabkan pertumbuhan gaji terhenti.
Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI), Christina Tee, berkata sektor berisiko utama termasuk elektronik, sarung tangan, dan alat ganti automotif, di mana jumlah pengeluaran yang berkaitan dengan eksport mungkin merosot dengan ketara, terutamanya menjejaskan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Ini adalah salah satu perkembangan perdagangan yang paling berpengaruh dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Tarif sebanyak 24 peratus ini akan memberi kesan yang meluas, bukan sahaja kepada sektor perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), tetapi juga kepada minyak sawit, peranti perubatan, alat ganti automotif, tekstil, dan banyak lagi.
“Dengan lebih 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita berkait dengan perdagangan, ekonomi Malaysia amat terdedah kepada kejutan sebegini.
“Tarif ini berisiko menjadikan eksport kita tidak kompetitif di AS, memaksa perniagaan untuk menilai semula kontrak, menyusun semula operasi, atau bahkan memindahkan pengeluaran ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh kekal pasif sementara ekonomi serantau lain secara aktif mencari pengecualian atau pelepasan.
Tee berkata, Malaysia perlu bertindak segera dan bekerjasama untuk melindungi industri, pekerjaan, dan daya saing global.
Sehubungan itu, MICCI secara rasmi menggesa penubuhan Majlis Mitigasi Tarif, yang akan dipengerusikan bersama oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta MICCI, bagi mengetuai penyelarasan di peringkat nasional.
Dewan itu juga mencadangkan pembentukan kumpulan kerja dua hala di bawah Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan Malaysia-AS serta akses kepada perkhidmatan nasihat teknikal bagi pengeksport yang terjejas.
Sebagai sebahagian daripada strategi tindak balas nasional lima perkara yang dicadangkan, MICCI telah menggariskan langkah utama seperti skim penampan tarif, pemecutan perjanjian perdagangan, pasukan petugas pertahanan kod HS, pasukan petugas diplomasi AS, dan dana ketahanan pengeksport.
MICCI turut menggesa majikan mengambil langkah proaktif, seperti menilai semula rantaian bekalan, meneroka pasaran baharu, menilai dokumentasi dan pematuhan perdagangan, serta mengukuhkan kerjasama serantau melalui ASEAN.
Sumber: Berita Harian